
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 15 Julai seramai 3.5 juta daripada 6.1 juta golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur dan Selangor sudah menerima vaksin dos pertama.
“Jumlah populasi dewasa 6.1 juta. Sehingga 15 Julai, 3.5 juta telah menerima dos pertama.
“Kami jangka 1.3 juta akan menerima dos pertama bermula hari ini hingga 25 Julai.
“Sementara itu, selepas tarikh itu sehingga 1 Ogos, 1.3 juta lagi akan menerima dos pertama mereka,” katanya pada sidang media khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang turut disertai Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba secara maya, hari ini.
Katanya, pemberian vaksin bagi golongan dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor itu dibuat menerusi ‘operasi lonjakan kapasiti’ bagi membendung penularan wabak di Lembah Klang ketika ini.
Katanya, data 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor itu diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Menerusi ‘operasi lonjakan kapasiti’, kita akan pastikan setiap individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos,” katanya.
Beliau turut menyeru 11% golongan dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor yang belum mendaftar bagi mendapatkan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera supaya berbuat demikian segera.
“Bagi mereka (golongan dewasa) di Kuala Lumpur dan Selangor yang tidak ada dalam sistem DOSM, setelah selesai operasi lonjakan kapasiti ini, mereka yang belum menerima vaksin boleh ‘walk in’ di mana-mana PPV di sekitar Kuala Lumpur atau Selangor selepas 1 Ogos,” katanya.
Selain itu, beliau memaklumkan kadar pemberian vaksin harian di Lembah Klang juga akan ditingkatkan dari 180,000 sehari ketika ini kepada 272,000 dos sehari selepas 26 Julai.