Aktivis nafi dera Bella, kesal tindakan ‘berdiam diri’ diperguna pihak tertentu memfitnahnya

Aktivis nafi dera Bella, kesal tindakan ‘berdiam diri’ diperguna pihak tertentu memfitnahnya

Peguambela dan peguamcara Tetuan Aminahtul Mardiah berkata, anak guamnya itu akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas segala urusan berkaitan.

Firma guaman Tetuan Aminahtul Mardiah yang mewakili wanita berkenaan berkata, anak guamnya akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa atas segala urusan berkaitan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Wanita yang dikaitkan dengan kes penderaan Bella, remaja penghidap Sindrom Down di sebuah pusat jagaan, kesal kerana tindakannya berdiam diri atas nasihat peguam disalah guna pihak tertentu untuk melontar pelbagai tohmahan.

Dalam kenyataan menerusi peguamnya, aktivis itu menegaskan bahawa tiada penderaan yang berlaku ke atas gadis OKU itu dan bertekad untuk terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Merujuk kepada isu berkaitan penderaan yang dilakukan ke atas Bella, pendirian beliau (anak guam) masih kekal bahawa tiada sebarang penderaan berlaku.

“Memandangkan isu ini masih dalam siasatan polis dan pertimbangan pihak pendakwaan, beliau akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa atas segala urusan yang berkaitan,” menurut kenyataan dikeluarkan firma guaman Tetuan Aminahtul Mardiah.

Kenyataan itu berkata, tindakan berdiam diri yang diambil oleh anak guam mereka dibuat atas nasihat dan arahan pasukan peguam yang mewakili beliau dan juga pusat jagaan berkenaan untuk menghormati proses siasatan polis dan pihak berkuasa lain.

Bagaimanapun, tindakan aktivis itu mematuhi nasihat peguam membuka peluang kepada pihak tertentu melontar fitnah dan tuduhan tidak berasas.

“Tindakan sedemikian adalah satu tindakan yang tidak wajar dan seharusnya dihentikan. Oleh yang demikian, kenyataan media ini dikeluarkan bagi tujuan menjelaskan dan menjawab tuduhan dan tohmahan yang timbul selain daripada isu yang masih dalam siasatan,” tambah kenyataan itu.

“Umum (juga) harus mengetahui bahawa tindakan penyebaran gambar-gambar serta video yang menunjukkan tubuh badan Bella adalah melanggar peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001,” kata kenyataan itu.

Selain menjelaskan isu dakwaan dera terhadap Bella, enam lagi perkara turut dijelaskan dalam kenyataan media berkenaan, iaitu mengenai dakwaan kematian seorang lagi kanak-kanak di bawah jagaan pusat terbabit dikaitkan dengan penderaan, isu pusat jagaan tidak berdaftar dan penafian dakwaan menjalankan kegiatan penjualan bayi.

Kenyataan media itu turut menjelaskan dakwaan berkaitan anak-anak jagaan sah aktivis itu yang menjadi tular dan dipertikaikan serta penjelasan dan penafian isu tangkap layar komunikasi bekas penghuni pusat jagaan yang disebarkan dengan dakwaan didera.

Awal bulan lalu, media melaporkan seorang remaja penghidap sindrom down yang dijadikan anak angkat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, dipercayai didera di sebuah rumah kebajikan didiaminya sejak setahun lalu.

Seorang pengguna Facebook turut mendakwa beliau dimaklumkan bahawa pemilik rumah kebajikan berkenaan, petugas dan beberapa penghuninya dijangkiti Covid-19, bagaimanapun nama remaja berusia 13 tahun itu tidak dimasukkan dalam senarai yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehari selepas itu, polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penderaan remaja perempuan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Saiful Annuar Yusof berkata, mangsa yang dihantar menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut disahkan positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.