
Minggu ini, Rafizi Ramli daripada PKR dan Syahredzan Johan daripada DAP bertelagah di Twitter mengenai siapa yang bertanggungjawab menutup kilang di Selangor, yang menjadi pusat jangkitan.
Menurut Rafizi, negeri itu boleh membatalkan lesen operasi kilang, namun ini disangkal Syahredzan yang berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit membenarkan Putrajaya menentukan sektor ekonomi mana yang perlu dan boleh beroperasi, manakala majlis tempatan hanya boleh membatalkan lesen disebabkan pelanggaran peruntukan dalam lesen berkenaan.
Peguam Derek Fernandez memberitahu FMT, walaupun Akta Kerajaan Tempatan memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengatur dan mengurus sanitasi kesihatan dan kawalan penyakit, peruntukannya mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang persekutuan.

Walaupun pihak berkuasa tempatan boleh menutup kilang atas pelbagai alasan seperti sanitasi, pelanggaran undang-undang perancangan dan bangunan, pencemaran atau pelanggaran syarat lesen, namun jika tindakan ini diambil atas alasan yang bukan di bawah bidang kuasa mereka, maka syarikat boleh menyaman pihak majlis.
Katanya, kerajaan tempatan juga boleh meluluskan undang-undang khusus berkaitan Covid-19, tetapi undang-undang ini juga mestilah tidak bertentangan dengan undang-undang persekutuan.
Undang-undang persekutuan akan mengatasi undang-undang tempatan di bawah Perkara 75 dan 81 Perlembagaan Persekutuan, katanya.
Oleh kerana operasi kilang semasa wabak Covid-19 berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, semua undang-undang, baik di peringkat tempatan, negeri mahupun persekutuan, tidak boleh bertentangan dengan peruntukannya.
Di bawah akta ini, peranan majlis tempatan adalah untuk menguatkuasakan pematuhan dengan arahan Kementerian Kesihatan.
Kata Fernandez, lebih penting daripada siapa yang boleh menutup kilang adalah ketidakupayaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang memadai untuk membolehkan kilang berfungsi sambil menjaga keselamatan pekerja.
“Semestinya unit vaksinasi bergerak dapat dikerahkan ke kilang dan pengujian wajib pekerja dijalankan sebagai prasyarat untuk kilang beroperasi,” katanya.
Beliau menyarankan agar kerajaan memberi insentif untuk pematuhan.
“Insentif cukai boleh diberikan, seperti pelepasan cukai berganda dengan ‘rollover’ jika majikan membayar sebahagian kos ujian dan vaksinasi,” katanya.
“Ada banyak perkara yang boleh dilakukan dengan baik jika ada kemahuan dan kepentingan umum diutamakan berbanding kepentingan swasta.”
Ulasan Fernandez senada dengan Exco Selangor Ng Sze Han yang berkata, langkah menutup kilang berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan kerana ia termasuk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
“Perkara berkait operasi sektor pembuatan bagi tujuan kawalan Covid-19 tertakluk kepada akta ini dan arahan serta SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam kenyataan semalam.