
Bercakap kepada FMT, Pengerusi Kumpulan Tindakan Melaka bagi Ibu Bapa dalam Pendidikan (Magpie) Mak Chee Kin berkata, ini penting kerana ia memberi kesan terhadap masa depan pelajar.
Isu itu timbul susulan pelajar STPM 2020 perlu memohon tempat di universiti awam antara 4 Jan hingga 31 Mac berdasarkan keputusan Semester 1 dan 2.
Keputusan STPM penuh dikeluarkan pada 1 Julai lalu, tetapi universiti awam telahpun memanggil pelajar untuk temu bual berdasarkan keputusan Semester 1 dan 2 mereka itu.
“Bagaimana jika seorang pelajar mendapat keputusan keseluruhan lebih baik berbanding pada Semester 1 dan 2, seterusnya mahu menukar kursus pembelajarannya?
“Contohnya, jika purata nilai gred kumulatif (CGPA) untuk dua semester pertama hanya 2.7, seorang pelajar mungkin tidak layak untuk mengikuti kursus profesional, berbanding sekiranya nilai keseluruhan CGPA cukup tinggi untuk melayakkannya.
Mak berkata, peperiksaan Semester 2 amat mencabar bagi pelajar kerana diadakan pada Ogos tahun lalu, ketika golongan itu masih menyesuaikan diri dengan pembelajaran dalam talian.
Susulan itu, beliau menganggap keputusan Semester 1 dan 2 bukanlah rujukan terbaik untuk menilai prestasi pelajar STPM.
“Sebelum ini, ramai pelajar STPM mengambil semula peperiksaan Semester 2 dan memperoleh keputusan lebih baik.
“Tidak adil untuk menilai pelajar semata-mata berdasarkan keputusan dua semester diperolehi.”
Tambahnya, pelajar STPM boleh membuat permohonan semula berdasarkan keputusan penuh, namun ini hanya boleh dilakukan antara 9 hingga 12 Ogos depan.
Ketika dihubungi, jurucakap kementerian berkata, universiti awam menemu bual pelajar berdasarkan keputusan Semester 1 dan 2 kerana “tiada alternatif lain.”
“Jika kita tidak menemu bual pelajar awal dan menunggu keputusan yang dikemas kini, kami tidak akan cukup masa untuk menyelesaikan proses temu bual yang memakan sekurang-kurangnya dua bulan.”