Letak jawatan, Pua beritahu Adham selepas kes Covid-19 cecah 5 digit

Letak jawatan, Pua beritahu Adham selepas kes Covid-19 cecah 5 digit

Tony Pua berkata Adham penyebab malapetaka dan mensia-siakan pengorbanan rakyat menempuh tempoh sukar di tengah-tengah "lockdown" yang berpanjangan.

Tony Pua menggesa Menteri Kesihatan Dr Adham Baba meletak jawatan kerana kegagalan mengawal penularan jangkitan Covid-19. 
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba perlu meletakkan jawatan susulan peningkatan kes Covid-19 semalam walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 16 Mei lalu, desak Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Semalam, negara mencatat rekod baharu jumlah jangkitan membabitkan 11,079 kes, menghapuskan rekod terdahulu sebanyak 9,353 kes yang dicatatkan dua hari sebelum itu.

“Sukar dipercayai tempoh ‘lockdown’ di negara ini yang berlarutan selama 18 minggu dan jumlah kes positif Covid-19 kelihatan sudah berada di luar kawalan,” katanya dalam kenyataan.

Pua berkata, Adham dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mensia-siakan pengorbanan rakyat selepas kegagalan memainkan peranan mengawal penularan virus berkenaan.

Katanya, kegagalan Kementerian Kesihatan berpunca daripada jumlah pengesanan jangkitan Covid-19 yang rendah walaupun secara faktanya kadar positif kes terus meningkat.

Berdasarkan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kes positif di atas 5% dianggap terlalu tinggi dan tindakan susulan perlu diambil sebelum pengesyoran membuka semula sektor sosial dan ekonomi dibuat.

Dengan memetik data daripada Kementerian Kesihatan, beliau berkata, jumlah pengesanan kes menurun secara konsisten daripada purata 109,601 kes (23 hingga 29 May) kepada 72,308 kes (20 to 26 Jun), iaitu penurunan sebanyak 34%.

Pihak kementerian secara berkala menambah jumlah purata sampel kes pengesanan kontak sejak dua minggu lalu.

“Daripada sekadar mengumumkan satu lagi jawatankuasa khas Covid-19 untuk Lembah Klang, tanpa memperlihatkan rancangan terperinci, Adham mesti mengambil tanggungjawab penuh meletak jawatan sebagai menteri kesihatan.

“Ketidakcekapan beliau mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, kesengsaraan berpanjangan dan kesukaran kepada rakyat biasa yang berhempas pulas mendapatkan mata pencarian ketika pandemik. Jika beliau enggan meletak jawatan, kerajaan PN sepatutnya memecat menteri kesihatan yang paling tidak cekap dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.