Benarkanlah orang duduk makan, rayu kumpulan F&B

Benarkanlah orang duduk makan, rayu kumpulan F&B

Gabungan peniaga F&B berkata, larangan ‘dine-in’ dibuat sewenang-wenangnya tanpa berunding terlebih dulu dengan pihak mereka.

Peniaga makanan tetap perlu membayar sewa dan bil utiliti sekalipun pelanggan tidak duduk makan, kata kumpulan peniaga makanan dan minuman.
PETALING JAYA:
Gabungan kumpulan peniaga makanan dan minuman (F&B) menggesa kerajaan membenarkan pelanggan duduk makan di premis mereka, kerana larangan berterusan akan menyebabkan peniaga dibelenggu kesukaran.

Gabungan peniaga itu berkata, larangan ‘dine-in’ di premis telah dibuat sewenang-wenangnya tanpa berunding terlebih dulu dengan anggota mereka.

“Kerajaan tidak menyedari kesan larangan itu terhadap keseluruhan ekosistem F&B. Restoran membuat pelaburan besar melibatkan antara lain lokasi, keselesaan premis dan kakitangan.

“Ketika tempoh larangan untuk ‘dine-in’ ini, kami masih mempunyai overhed bulanan seperti sewa, perbelanjaan dan utiliti namun pendapatan diraih kurang daripada 10%,” kata mereka dalam satu kenyataan, dengan menambah golongan itu tidak mendapat banyak bantuan kewangan daripada kerajaan.

Gabungan itu, meliputi Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, F&B Connects, Malaysia F&B Alliance, Professional Culinaire Association, HAPA Group, dan Malaysia Food & Beverage Executives Association, berkata industri makanan bukan penyumbang besar terhadap penularan wabak kerana kebanyakan pemilik restoran mematuhi SOP ditetapkan.

“Banyak restoran semakin hilang pendapatan, ada sehingga 90%. Ramai yang terpaksa meneliti semula kos tenaga kerja untuk menampung kos komisen penghantaran yang tinggi,” tambah mereka.

Tanpa menyebut pihak terlibat, gabungan itu turut meminta kerajaan campur tangan dan mengawal dua pengendali penghantar makanan utama, susulan kadar komisen tinggi ditetapkan mereka iaitu 30%.

“Kami memohon rebat 15% daripada kadar komisen yang tinggi itu dari sekarang sehingga Januari tahun depan,” kata mereka.

Pelanggan masih tidak boleh duduk makan di kawasan yang terletak di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.