Utamakan krisis kesihatan dan ekonomi, bukan masa untuk berpolitik, kata TMJ

Utamakan krisis kesihatan dan ekonomi, bukan masa untuk berpolitik, kata TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ahli politik Johor perlu berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu semua ahli politik lakukan gencatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta semua ahli politik supaya memberikan keutamaan terhadap memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi yang kini berada pada tahap membimbangkan.

“Sekarang bukan masa untuk berpolitik. Anda semua dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat demi rakyat dan negara.

“Tolonglah berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan cuba sedaya boleh untuk memerangi pandemik ini,” katanya di Facebooknya hari ini.

Katanya, pandangan dan nasihat ikhlas itu tidak hanya kepada ahli politik Johor tetapi kepada semua ahli politik di negara ini.

TMJ turut meminta supaya semua pihak mengetepikan segala perbezaan politik.

“Lakukan gencatan politik buat sementara ini dan berikan tumpuan sepenuhnya kepada rakyat.

“Ini adalah masa untuk berkhidmat dan membantu rakyat,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Che Zakaria Mohd Salleh dilaporkan berkata, empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika Umno masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat pusat.

Jika situasi tersebut berlaku, kerajaan PN Johor dijangka tumbang kerana ketika ini, Menteri Besar Hasni Mohammad mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.