Buktikan bila gambar diambil, Saifuddin beritahu Annuar berhubung dakwaan langgar SOP

Buktikan bila gambar diambil, Saifuddin beritahu Annuar berhubung dakwaan langgar SOP

Lewat malam tadi, Annuar berkongsi beberapa gambar di Twitter menunjukkan Saifuddin, Zahid dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul sedang menikmati hidangan disebuah restoran.

PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, meminta Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, membuktikan gambar pertemuan beliau bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Lewat malam tadi, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkongsi beberapa gambar di Twitter menunjukkan Saifuddin, Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, sedang menikmati hidangan bersama tanpa menjelaskan secara terperinci tarikh serta lokasi restoran berkenaan.

Saifuddin berkata, beliau dan bekas timbalan perdana menteri itu sudah lama mengenali dan mengakui mempunyai banyak koleksi gambar bersama Zahid dan keluarganya.

“Saya bersahabat dengan beliau (Zahid) dah lama, dekat 30 tahun. Banyak koleksi gambar bersama beliau dan keluarganya saya ada.

“Lebih elok minta tukang sebar jelaskan dengan terperinci di mana dia dapat gambar itu. Gambar lama atau baru, elok dia jelaskan. Dia mesti tahu gambar itu dari mana dan bila, baru saya boleh jawab semula,” katanya kepada FMT.

FMT sudah menghubungi Annuar dan sedang menunggu maklum balasnya untuk penjelasan lanjut.

Annuar dalam catatannya, dengan sinis mengulas pertemuan ketiga-tiga ahli politik berkenaan.

“Makan sedulang memang sedap…Lebih-lebih lagi kalau dapat ‘dining’ di restoran musim PKP,” katanya di Twitter.

Semalam, Annuar dikompaun RM2,000 selepas beliau didapati melanggar SOP kerana berkunjung ke kediaman bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.