
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menggalakkan doktor swasta mewujudkan CAC bagi mengurangkan bilangan pesakit di CAC sedia ada,” katanya pada sidang media hari ini.
Sha’ari mengulas lonjakan pesakit yang menunggu membuat penilaian di CAC di negeri itu, khususnya Stadium Malawati, Shah Alam yang melihat kehadiran sekitar 4,000 orang antara 8 pagi hingga tengah hari, semalam.
Beliau berkata, buat masa ini ada 34 CAC di Selangor. CAC di Stadium Malawati adalah yang terbesar di negara ini dan dibuka setiap hari, tambahnya.
Katanya, ada tiga pintu masuk ke CAC Stadium Malawati, masing- masing untuk golongan yang diberikan perintah pelepasan; mereka yang perlu melakukan penilaian Covid-19; serta pintu khas untuk warga emas atau kanak-kanak.
“Semalam apabila bilangan orang begitu ramai kami membuka satu lagi laluan untuk menyerahkan perintah pelepasan kerana seramai 1,900 memerlukannya.
“Kami turut mendirikan khemah dan menyediakan tempat duduk untuk pesakit, manakala NGO di Selangor juga mengedarkan makanan dan minuman,” katanya.
Menurutnya, lebih ramai kakitangan akan dikerahkan ke CAC negeri itu bagi memastikan operasi lebih lancar.
Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut menggesa orang ramai pergi ke CAC terdekat untuk mengelak kesesakan di Stadium Malawati.
Beliau turut mengongsikan lokasi CAC lain di negeri itu.