Kes rogol ADUN: 2 saksi terlindung beri keterangan secara tertutup

Kes rogol ADUN: 2 saksi terlindung beri keterangan secara tertutup

Ini termasuk mangsa dengan dua saksi itu hanya boleh dilihat Hakim Abdul Wahab Mohamed, manakala pihak pendakwaan dan peguam cuma mendengar suara tanpa melihat mereka memberi keterangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, didakwa merogol mangsa pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua saksi terlindung termasuk pembantu rumah yang didakwa menjadi mangsa kes rogol membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Ipoh secara tertutup, hari ini.

Prosiding dimulakan dengan keterangan mangsa pada 2.15 petang, disusuli saksi dilindungi seterusnya yang memberi keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Saksi ke-15 dan saksi ke-16 itu hanya boleh dilihat oleh hakim Abdul Wahab Mohamed manakala pihak pendakwaan dan peguam cuma mendengar suara tanpa melihat mereka memberi keterangan, menurut laporan Bernama.

Petugas media yang hadir juga tidak dibenarkan merakam gambar dan mendengar prosiding ketika mereka memberi keterangan sebaliknya cuma membuat liputan ketika pegawai siasatan tempat kejadian, V Simon, 38, dari Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyambung keterangannya pagi tadi.

Simon dalam keterangannya berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan “polilight” pada lapan kesan tompokan disyaki air mani yang ditemui pada sarung tilam di tempat kejadian berdasarkan maklumat pengadu, yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk pengesahan.

“Dalam penggunaan ‘polilight’ ini perbezaan untuk menentukan cecair biologi antara air mani, air kencing, darah dan air liur adalah pada warna yang kami kesan pada permukaan yang kami buat pemeriksaan.

“Contohnya kesan air mani apabila disuluh pada permukaan tersebut, sejenis cecair lutsinar putih akan bersinar dan kami anggap ia sebagai air mani. (Ia) disyaki sahaja, bukan sahkan air mani dan kami buat penandaan untuk analisis di Jabatan Kimia,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong.

Beliau berkata, pihaknya turut menghantar dua “swabbing stick” yang ditemui di tempat kejadian kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, Simon berkata, pihaknya tidak menjalankan pemeriksaan “polilight” pada mop yang dirampas kerana ia telah dicuci dan terus menghantarnya untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Simon bagaimanapun bersetuju bahawa pasukan forensik pergi ke lokasi selepas 38 jam kejadian berlaku, iaitu kira-kira 12.10 tengah hari pada 9 Julai, manakala aduan dibuat selepas 22 jam waktu kejadian.

Beliau turut bersetuju bahawa siasatan forensik dibuat secara khusus berdasarkan maklumat diberikan pengadu yang membawa ke sebuah bilik tingkat satu rumah Paul Yong.

Semalam, Simon dalam keterangannya berkata, lapan kesan tompokan disyaki air mani ditemui pada sarung tilam di rumah Paul Yong selain empat helai rambut.

Seramai 14 saksi memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 5 April lalu. Mahkamah dijangka memanggil 10 lagi saksi termasuk dua saksi terlindung untuk memberi keterangan.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di kediamannya di Meru Desa Park antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

ADUN Tronoh itu didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.