Segerakan pilihan raya kampus, campur tangan KPT ‘cabul’ autonomi pelajar, kata Suara Siswa UM

Segerakan pilihan raya kampus, campur tangan KPT ‘cabul’ autonomi pelajar, kata Suara Siswa UM

Suara Siswa UM percaya campur tangan KPT dan pihak pengurusan UM telah melanggar hak Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya untuk mengadakan pilihan raya kampus.

Suara Siswa UM berkata, pihak pengurusan universiti itu juga mula bertindak dengan memberikan cadangan untuk menangguhkan pilihan raya kampus.
PETALING JAYA:
Suara Siswa Universiti Malaysia (UM) mendesak pilihan raya kampus diadakan secepat mungkin dan menolak sebarang campur tangan politik dalam urusan itu.

Dalam kenyataan, Suara Siswa UM terdiri daripada Angkatan Mahasiswa UM, Demokrat UM dan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (JPRKUM) diarah menangguhkan pilihan raya kampus (PRK) tahunan dua kali pada 27 Jun dan 10 Julai.

Kenyataan itu berkata, berdasarkan maklumat JPRKUM dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengeluarkan saranan menyelaraskan pilihan raya kampus di semua institusi pengajian tinggi awam untuk diadakan pada semester satu.

Pada masa sama katanya, pihak pengurusan UM juga mula bertindak dengan memberikan cadangan untuk menangguhkan pilihan raya kampus.

“Suara Siswa UM percaya bahawa campur tangan KPT dan pihak pengurusan UM telah melanggar hak JPRKUM untuk mengadakan pilihan raya kampus dan mencabuli autonomi mahasiswa-mahasiswi UM.

“Kami turut mengesyaki bahawa anasir berunsur politik sedang cuba mengaut kepentingan politik mereka melalui campur tangan kali ini dalam pilihan raya kampus UM,” menurut kenyataan itu.

Suara Siswa UM berkata, pilihan raya kampus memainkan peranan penting dalam menggalakkan semangat demokrasi dalam kampus selain menjadi satu sistem semak dan seimbang terhadap pihak pengurusan.

“Sekiranya pilihan raya kampus mempunyai campur tangan oleh kuasa politik luar, pembaharuan yang dilakukan oleh KMUM dua tahun sebelum ini bolehlah diibaratkan sebagai telur di hujung tanduk. Hak dan autonomi mahasiswa mahasiswi UM akan lenyap begitu sahaja,” katanya.

Justeru gabungan Suara Siswa UM mengutuk keras sebarang campur tangan KPT dan pihak universiti yang tidak berasas dalam menangguhkan pilihan raya kampus.

“Kami mendesak pihak pengurusan universiti tampil memberikan penjelasan atas episod penangguhan pilihan raya kampus dengan campur tangan anasir yang tidak diingini kali ini.

“Suara Siswa juga menyeru kepada mahasiswa-mahasiswi UM untuk bersama mempertahankan hak autonomi pelajar, menentang campur tangan berunsur politik, bersolidariti dan menyokong petisyen JPRKUM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.