
Video viral pesakit yang ditempatkan di kawasan parkir luar jabatan kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, tetapi menggambarkan keadaan mengerikan sedang berlaku di lapangan.
Di Lembah Klang, 32,074 kes dicatatkan dalam jangka waktu seminggu, membabitkan 58.7% daripada jumlah kes antara 4 Julai dan 10 Julai.
Secara keseluruhan, 54,584 kes baharu dicatatkan berbanding 36,888 pemulihan antara 4 Julai dan 10 Julai. Sebanyak 9,353 kes baharu yang direkodkan semalam adalah rekod tertinggi sejak bermulanya wabak ini.
Dalam seminggu, sejumlah 633 orang kehilangan nyawa mereka, dengan jumlah kematian Covid-19 melepasi angka 6,000.
Sebanyak 84,021 orang dirawat, termasuk 959 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kadar kebolehjangkitan juga meningkat daripada 1.06 kepada 1.11 dengan Selangor dan Kuala Lumpur (1.16), Putrajaya (1.19), Kedah (1.13) dan Perak (1.17), melebihi purata kebangsaan.
Sejumlah 157 kluster baharu dilaporkan dalam tempoh sama, kebanyakannya adalah berkait dengan tempat kerja.
FMT melihat sekilas tajuk utama Covid-19 sejak seminggu yang lalu:
Keadaan mengerikan di Lembah Klang
Setelah video mengenai situasi di HTAR menjadi viral, kerajaan mengumumkan lebih banyak katil dan peralatan akan dihantar ke hospital, selain mendirikan hospital lapangan di sana.
Kerajaan juga akan mengirim lebih banyak katil dan peralatan seperti silinder oksigen ke hospital di Lembah Klang, membawa pekerja kesihatan dari negeri lain untuk membantu dan bekerjasama dengan sektor swasta bagi menubuhkan lebih banyak pusat kuarantin dan rawatan.
Hospital Covid-19 ketiga untuk Selangor
Pengarah kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman mendedahkan hospital ketiga yang mengendalikan sepenuhnya pesakit Covid-19 di Selangor sedang disiapkan berikutan peningkatan jumlah kes di negeri ini.
Hospital Sungai Buloh dan Ampang adalah hospital Covid-19 sepenuhnya di negeri ini.
Labuan bertambah baik
Situasi Covid-19 di Labuan bertambah baik dengan jumlah kes aktif di pulau berkenaan dijangka turut kepada 700 dalam minggu akan datang. Kadar kebolehjangkitan juga menurun dari 2.0 pada Mei kepada 0.86 sehingga 8 Julai.
Terdahulu, berlaku peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Labuan menyaksikan 8,922 kes direkodkan dengan varian Delta dilihat sebagai penyumbang di mana ia mula dikesan pada 23 April.
Vaksin kosong?
Dakwaan mengatakan penerima vaksin Covid-19 menerima suntikan kosong menjadi tular minggu ini. Kementerian Kesihatan berkata akan melihat dan meneliti dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata agak mustahil untuk berlakunya penyuntikan tanpa vaksin kepada mana-mana penerima di mana Pusat Pemberian Vaksin sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kementerian.
Pemberian vaksinasi melebihi 10 juta
Pada 7 Julai, Malaysia melepasi 10 juta jumlah pemberian vaksin. Sehingga 9 Julai, sejumlah 10,750,748 individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka, di mana daripada jumlah itu seramai 3,314,871 telah menerima dos kedua.
Pulau Pinang memasuki Fasa Dua
Pulau Pinang bersama Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah memenuhi penanda aras yang diperlukan untuk menurunkan jumlah kes Covid-19.
Di bawah Fasa Dua, lebih banyak perniagaan runcit, termasuk kedai buku dan kedai alat tulis, yang menjual barangan elektrik, produk dan perkhidmatan komputer dan telekomunikasi, mencuci kereta dan salun rambut dan kedai gunting rambut (hanya perkhidmatan asas), boleh dibuka.