Selepas 2 hari, gedung serbaneka di KL ditutup semula atas alasan SOP

Selepas 2 hari, gedung serbaneka di KL ditutup semula atas alasan SOP

Sogo Malaysia mengumumkan penutupan semua gedungnya mulai hari ini sehingga diberitahu kelak, kecuali pasar rayanya di gedung Kuala Lumpur.

Jumlah pelanggan di gedung serbaneka Sogo di Kuala Lumpur kurang berbanding kebiasaan, ketika ia dibuka semula semalam.
PETALING JAYA:
Selepas hanya dua hari dibuka semula, beberapa gedung serbaneka di Kuala Lumpur memutuskan untuk menutup sementara atas alasan pematuhan SOP.

Sogo Malaysia mengumumkan penutupan semua gedungnya mulai hari ini sehingga diberitahu kelak, kecuali pasar rayanya di gedung Kuala Lumpur.

“Susulan pematuhan SOP terbaharu daripada pihak berkuasa, harap maklum semua gedung Sogo akan ditutup mulai 11 Julai (Ahad) hingga diberitahu kelak,” katanya dalam kenyataan.

Isetan Kuala Lumpur turut mengubah waktu operasi di cawangan Lot 10 dan KLCC, manakala cawangan di The Gardens Mall ditutup. Di pusat beli-belah 1 Utama, hanya bahagian makanan masih dibuka.

Di media sosial, warganet bersetuju dengan pusingan U pantas itu.

Pengguna Facebook, Aaron Kok menulis: “Bagus. MKN (Majlis Keselamatan Negara), tolong jangan biarkan pusat beli-belah dibuka.”

Falynee Faha pula berkata, gedung itu tidak sepatutnya dibenarkan dibuka pada mulanya kerana jumlah jangkitan masih tinggi.

Jumaat lalu, pengumuman membuka semula beberapa gedung serbaneka terkenal di Kuala Lumpur membuatkan ramai yang bingung memandangkan wilayah persekutuan itu masih di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Pemeriksaan FMT di cawangan Isetan di Suria KLCC dan gedung serbaneka Sogo menunjukkan banyak kedai dan bahagian tertentu masih ditutup, di sebalik pembukaan semula itu.

Jumlah pelanggan di kedua-dua gedung itu juga kurang berbanding kebiasaan. Di cawangan Isetan, majoriti pelanggan berada di bahagian makanannya, dengan pengunjung dilihat membeli barang keperluan asas.

Di Sogo, hanya gedung serbaneka dibenarkan buka, manakala penyewa lain masih ditutup.

Kedua-dua gedung itu menjalankan pemeriksaan suhu badan pelanggan, menyediakan cecair pembasmi kuman dan mencatatkan maklumat pelanggan sebelum membenarkan mereka memasuki premis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.