Rekod baharu 9,353 kes Covid-19, 87 kematian

Rekod baharu 9,353 kes Covid-19, 87 kematian

Selangor terus menjadi negeri yang mencatatkan jangkitan tertinggi, dengan 4,277 kes.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan melaporkan satu lagi rekod tertinggi untuk jangkitan harian Covid-19 yang mencatatkan 9,353 kes hari ini berbanding rekod semalam sebanyak 9,180 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 87 kematian dan 5,910 pesakit pulih dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan keseluruhan 737,103 daripada 827,191 pesakit Covid-19 sudah sembuh, manakala angka korban pula meningkat kepada 6,067 orang.

Beliau berkata, terdapat 84,021 kes aktif di seluruh negara, dengan 451 daripada 959 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus menjadi negeri yang mencatatkan jangkitan tertinggi, dengan 4,277 kes.

Ini disusuli Kuala Lumpur (1,398), Melaka (835), Negeri Sembilan (638), Johor (399), Kedah (364), Sarawak (352), Sabah (251), Pahang (247), Pulau Pinang (180), Perak (145), Kelantan (89), Labuan (85), Terengganu (50), Putrajaya (39) dan Perlis (4).

Daripada jumlah kes baharu itu, 11 ialah kes import dan baki 9,342 kes penularan tempatan membabitkan 6,645 warganegara serta 2,697 warga asing.

Noor Hisham berkata, 87 kematian itu membabitkan 50 kes di Selangor, lapan di Johor, enam Pahang, masing-masing lima di Kuala Lumpur, Kedah dan Negeri Sembilan, empat di Melaka, dua di Pulau Pinang serta satu di Kelantan dan Labuan.

Katanya, ia membabitkan 78 warganegara dan sembilan warga asing berusia 26 hingga 97 tahun, dengan semuanya kecuali 17 orang mempunyai latar belakang penyakit.

Setakat semalam, katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara atai R-naught (R0) adalah 1.11.

Lapan negeri dan dua wilayah persekutuan mencatatkan R0 melebihi 1.0, dengan Putrajaya mendahului senarai itu pada 1.19.

Ia disusuli Perak (1.17), Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.16), Kedah (1.13), Pahang (1.11), Sabah (1.10), Terengganu (1.08), Melaka (1.05) dan Negeri Sembilan (1.04).

Negeri di bawah 1.0 adalah Pulau Pinang (0.99), Johor (0.99), Kelantan (0.94), Labuan (0.87), Sarawak (0.85) dan Perlis (0).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.