
Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, melalui serbuan tersebut, pihaknya berjaya membongkar tiga stor penyimpanan dadah di Serdang, Ampang Jaya dan Subang Jaya serta merampas 431 bungkusan berisi syabu dianggarkan seberat 444.5kg, 863 slab disyaki “heroin base” (319.31kg) dan 2,000 pil Erimin 5 (0.53kg).
Arjunaidi berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita tempatan selain seorang wanita Vietnam. Semuanya berusia 20 hingga 70 tahun didapati negatif ujian dadah namun enam daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lepas dengan menggunakan kenderaan perdagangan termasuk lori buah-buahan untuk membawa masuk dadah dari negara jiran di utara Semenanjung.
“Dadah itu dibawa masuk dari negara jiran di utara menggunakan kenderaan perdagangan termasuk lori buah-buahan dengan dadah disorokkan dan ditutup dengan buah-buah.
“Ia kemudiannya ditransitkan di satu rumah yang dijadikan stor dengan dadah itu adalah untuk pasaran tempatan,” katanya dipetik Bernama, dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.
Arjunaidi berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset dianggarkan lebih RM477,709 antaranya tujuh kereta, tujuh akaun bank bernilai lebih RM35,672 dan pelbagai jenis wang tunai asing termasuk wang tunai Malaysia sebanyak RM61,209.60.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan saki-baki ahli sindiket itu manakala kesemua suspek yang ditangkap kini direman tujuh hari bermula Selasa lepas.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan sama, Arjunaidi mengesahkan penularan video berdurasi 26 saat yang memaparkan dua pegawai polis melepaskan tembakan di Lembah Jaya Selatan, Ampang pada hari sama.
“Ini berkenaan susulan usaha menangkap dan merampas daripada sindiket tersebut dengan suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger cuba melanggar kenderaan pasukan polis sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Suspek kemudiannya melarikan diri di kawasan sungai berdekatan dan polis telah mengejar dan mengarahkan mereka berhenti. Bagi mengelakkan suspek meloloskan diri dan membahayakan orang awam, dua das tembakan dilepaskan seterusnya melakukan tangkapan suspek tanpa sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa,” katanya.