‘Spiderman’ ditahan, panjat tingkat 19 pecah masuk pangsapuri

‘Spiderman’ ditahan, panjat tingkat 19 pecah masuk pangsapuri

Lelaki berusia 30-an itu berjaya ditangkap oleh orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada polis.

PETALING JAYA:
Tindakan seorang lelaki memanjat pangsapuri Alif Residence, Jalan Tahana, Tampoi, Johor, hingga ke tingkat 19 dengan niat mahu memecah masuk ke salah satu unit kediaman itu gagal.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.26 petang semalam.

Katanya, susulan itu seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama sebuah jentera FRT, EMRS dan tiga unit RIM dihantar ke lokasi.

Lelaki yang ditahan diserahkan kepada polis.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di lokasi mendapati terdapat seorang lelaki berada di beranda rumah pangsapuri tingkat 19 dipercayai cuba untuk memecah masuk,” katanya dalam kenyataan.

Nordatul berkata, lelaki berusia 27 tahun itu berjaya ditangkap orang awam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tindakan operasi menyerahkan mangsa kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Rupiah Abd Wahid, berkata siasatan mendapati lelaki terbabit berstatus orang dikehendaki dan mempunyai 18 rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.

“Hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas satu paket plastik kecil lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu, sebuah kertas Vios berwarna hitam, lima alat kawalan jauh kereta, dua kamera, tujuh utas jam tangan pelbagai jenama, sebilah parang dan beberapa lagi barang rampasan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rupiah berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Insiden itu turut dirakam penduduk menerusi satu video berdurasi 53 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki memanjat di luar bangunan berkenaan.

 

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.