Tak insaf, 3 beradik ditahan bersama dadah RM195,200

Tak insaf, 3 beradik ditahan bersama dadah RM195,200

Mereka ditahan dalam serbuan polis di Kampung Tok Pelanduk, Pasir Mas, Kelantan bersama 8,000 pil kuda serta 3,247 gram syabu.

Dalam serbuan itu, polis merampas 8,000 biji pil kuda dan 3,247 gram dadah jenis syabu.
PETALING JAYA:
Tiga beradik yang memiliki rekod lampau kes dadah masih tidak insaf apabila mereka ditahan polis bersama pil kuda dan syabu bernilai RM195,200 dalam serbuan di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Pelanduk, Bukit Tuku itu, polis merampas 8,000 biji pil kuda dan 3,247 gram dadah jenis syabu selepas cuba disembunyikan mereka di beberapa kawasan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pertama yang dilakukan pada jam 12.50 tengahari berjaya menahan suspek pertama berusia 33 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut dalam serbuan itu, kita menemui bungkusan plastik mengandungi 2,000 pil kuda disorokkan dalam semak dan 6,000 biji lagi dalam tin cat tanpa penutup.

“Kita turut menemui 3,247 gram syabu yang dimasukkan dalam paip PVC yang ditutup dengan plastik merah,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Nasaruddin berkata, anggotanya sekali lagi menyerbu rumah berkenaan pada jam 2 petang hari sama dan menemui dua lelaki yang juga abang suspek berusia 38 dan 40 tahun.

“Mereka turut ditahan kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Hasil serbuan itu, katanya, polis menemui wang tunai RM4,000 dalam sebuah bilik rumah berkenaan dipercayai hasil jualan dadah selain dua kereta jenis Honda Civic dan Nissan Almera serta sebuah motosikal Yamaha Y15.

Menurutnya, tiga beradik itu kemudiannya menjalani ujian saringan air kencing dan hanya suspek pertama didapati negatif.

“Dua lagi suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Bagaimanapun, suspek pertama mengakui semua dadah ditemui adalah miliknya,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.