
Previin didakwa dipukul bersama Nhaveen pada 2017 dan dikatakan beliau merupakan saksi kejadian yang meragut nyawa rakannya itu akibat kecederaan otak.
Dua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini pada Jun ditangguhkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP). Susulan dua saksi berkenaan tidak hadir hari ini, mahkamah menangguhkan prosiding yang sepatutnya berjalan dua hari selama sebulan lagi.
Perbicaraan bermula pada 4 Mei selama dua hari dan sepatutnya disambung pada 29 Jun lalu dengan keterangan 12 saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari memberitahu mahkamah, Previin dan bapa saudaranya D Karunagaran tidak dapat dijejaki.
Sebelum ini mahkamah diberitahu, Karunagaran ada bertemu dengan tertuduh yang didakwa menculik Nhaveen sejurus sebelum kematiannya.
Amril berkata, sapina tidak dapat diserahkan kepada dua saksi itu di alamat terakhir mereka, manakala usaha menghubungi mereka menerusi telefon turut gagal.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid berkata, pendakwaan mesti berusaha membawa saksi itu ke mahkamah kerana kes itu penting dan melibatkan kepentingan awam.
Katanya, pendakwaan tidak boleh membiarkan prosiding akibat saksi tidak hadir ke mahkamah. Beliau kemudian menetapkan tarikh perbicaraan selama dua hari bermula 5 Ogos.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim yang juga pengarah pendakwaan Pulau Pinang berkata, pihaknya sedang berusaha keras menjejaki dua saksi itu
Dua tertuduh berusia 22 tahun dan dua yang masih juvana ketika kejadian, didakwa membunuh Nhaveen pada 19 Jun 2017.
Mereka didakwa membunuh Nhaveen berhampiran Karpal Singh Learning Centre, Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara jam 11 malam hingga tengah malam.
Dalam perbicaraan pada Mei lalu, Previin dan Karunagaran dinamakan sebagai saksi utama oleh pendakwaan.
Previin dikatakan menerima ugutan daripada orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan tertuduh.
Sejak itu, polis menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 26 tahun kerana melakukan ugutan jenayah selain menawarkan perlindungan untuk Previin, namun ditolak.
Sebaliknya, Previin dilaporkan memilih untuk dijaga aktivis Arun Dorasamy yang dilaporkan membawanya ke Kuala Lumpur sebagai perlindungan.
Pendakwaan turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, manakala peguam Ranjit Singh Dhillon, Manveer Singh Dhillon dan Yagoo Subramaniam mewakili tertuduh.
Peguam Sukhindarpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati Majlis Peguam.