Polis tahan 4 sekeluarga jadi ‘tokan’ dadah

Polis tahan 4 sekeluarga jadi ‘tokan’ dadah

Remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan dalam serbuan bersama ibu, kakak dan abang ipar.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat (dua, kanan) bersama Timbalannya Mohd Roze Shaari (kanan) menunjukkan dadah yang berjaya dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda Sungai Petani hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat sekeluarga termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dalam dua serbuan iaitu di Pinang Tunggal, Sungai Petani dan Padang Serai, Kulim semalam.

Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat berkata empat suspek itu adalah seorang lelaki berusia 32 tahun serta isteri, 20, ibu mertua, 48, dan remaja tersebut yang juga adik iparnya.

“Tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 32 tahun yang sebelum itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Pinang Tunggal dekat sini pada kira-kira 2 petang.

“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit kemudian ditahan dan pemeriksaan terhadap beg galas yang dimilikinya menemukan 14 paket dadah dipercayai jenis heroin dengan berat keseluruhan berjumlah 6.36kg,” katanya dalam sidang media hari ini, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Serai, Padang Serai pada 4.05 petang dan menahan tiga lagi yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek berkenaan.

Kamarul Zaman berkata hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan satu beg pakaian mengandungi lima paket disyaki dadah jenis heroin seberat 1.94kg dan satu paket plastik dipercayai syabu seberat 12.5g.

Beliau berkata nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggarkan hampir RM95,000 dan boleh digunakan untuk kira-kira 40,000 hingga 50,000 penagih.

“Siasatan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah kira-kira sejak setahun lepas dan bekalan dipercayai diperoleh di negeri ini.

“Semua suspek ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kamarul Zaman berkata semua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata polis masih menyiasat kes seorang Ahli Parlimen di negeri itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara baru-baru ini.

“Kita masih dalam proses siasatan, saksi yang terlibat telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberikan keterangan… setelah siasatan selesai, kita akan serahkan kepada pendakwa raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.