
Dian Azura, 36, meluahkan perkara itu di Twitter selepas ditahan berkali-kali ketika membawa sepupu berusia 40 tahun yang mengalami masalah mental.
Dia berkata polis dan anggota Rela di PPV berkenaan menahannya di tiga lokasi pemeriksaan pada 4 Julai lalu walaupun sudah menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera bahawa dia adalah penjaga kepada sepupunya.
Mereka turut memintanya memberi penjelasan mengapa sepupunya perlu ditemani ahli keluarga kerana secara fizikalnya dia kelihatan sihat.
“Menurut mereka, sesiapa yang secara fizikalnya kelihatan sihat harus pergi secara bersendirian. Setiap kali ditahan di tempat pemeriksaan, saya menjadi semakin marah kerana disoal berkali-kali. Mereka juga berasa kurang senang namun akhirnya membenarkan juga.
“Situasi itu amat berbeza dengan apa yang dihadapi dengan pegawai perubatan bertugas. Sebaik memberitahu ‘dia adalah tanggungan’, mereka hanya menganggukkan kepala dan memberitahu ‘ok’, kemudian membenarkan masuk,” katanya.
Dian memberitahu FMT agak sukar untuk meminta sepupunya mendapatkan suntikan vaksin dan keenganan pihak terbabit membenarkannya masuk hampir menyebabkan dia berputus asa.
“Orang ramai mendaftarkan tanggungan kerana mereka bergantung pada ahli keluarga mereka. Mengapa mereka didaftarkan itu adalah soal lain?
“Dia juga adalah tanggungan ketiga yang saya temani, jadi saya tahu dengan prosedurnya. Ibu dan ibu saudara juga tidak mempunyai masalah kerana mereka nampak berusia, jadi saya tidak dipersoal,” katanya.
Selepas sepupunya menerima suntikan, PPV menyuarakan aduannya di kaunter bantuan namun turut berdepan dengan kakitangan yang tidak begitu membantu.
Katanya pegawai terbabit menegur kononnya dia gagal mengawal emosi dan berkeras bahawa hanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) saja boleh ditemani ahli keluarga.
Menurutnya, ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran orang ramai bahawa pesakit mental juga perlukan bantuan.
Dia juga diberitahu kakitangan keselamatan hanya cuba menghalang orang tertentu daripada menyelinap masuk mendapatkan suntikan walaupun sudah memberitahu dirinya baru saja disuntik dos pertama.
Kesal dengan pengalaman buruk itu, Dian berkata dia menangis ketika menunggu perkhidmatan Grab tiba bersama sepupunya.
Catatannya di media sosial itu turut menarik perhatian ramai warganet yang turut berkongsi pengalaman ketika menemani tanggungan mendapatkan suntikan dan berdepan dengan kakitangan biadap di lokasi pemeriksaan.
Ada segelintir yang menemani ibu bapa berusia juga melalui situasi sama, ditahan oleh kakitangan yang menegaskan hanya penerima suntikan saja dibenarkan masuk sebelum berlaku pergaduhan.
Dian meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, mengambil tindakan terhadap isu itu sambil menjelaskan ramai penjaga dan tanggungan biasanya hanya berdiam diri kerana memikul banyak tanggungjawab.
“Mengapa kami mendaftarkan tanggungan dan mengesahkan kehadiran kami?
“Apa tujuan aplikasi (MySejahtera) jika Rela atau polis enggan membenarkan masuk, malah mempersoalkan keadaan pesakit mental mengapa mereka tidak boleh pergi bersendirian?,” soalnya sambil berkata keadaan pesakit mental tidak semestinya boleh dilihat secara jelas.