Lebih 150,000 pesakit NCD baharu dikenal pasti bawah skim PeKa

Lebih 150,000 pesakit NCD baharu dikenal pasti bawah skim PeKa

Dr Adham Baba berkata, KKM sudah memohon peruntukan tambahan susulan pandemik Covid-19.

Dr Adham Baba berkata, ramai individu B40 didapati menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan kemurungan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) mengenal pasti 151,729 pesakit baharu yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD), kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Ketika melancarkan laporan PeKa B40 2019/2020 beliau berkata, 457,462 individu daripada kumpulan B40 sudah mendaftar untuk skim itu sejak ia dilancarkan pada April 2019.

“Jumlah ini melibatkan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4%); kolestrol tinggi (29.8%); darah tinggi (13.8%); masalah mental seperti kemurungan (1.6%) dan keresahan (1.4%).

“Sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya apatah lagi mendapat rawatan susulan,” katanya.

Skim itu dilancarkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi melindungi 800,000 orang.

Ia dikendalikan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), iaitu anak syarikat tidak berkeuntungan Kementerian Kesihatan (KKM).

Adham berkata, ProtectHealth membelanjakan RM62.5 juta antara 15 April 2019 hingga 31 Dis 2020 untuk saringan kesihatan.

Katanya, KKM sudah memohon peruntukan tambahan kerana lebih ramai individu M40 beralih menjadi B40 akibat pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.