
Tertuduh Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid dan Syed Hairul Nizam didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan tender perkhidmatan membekal makanan ke asrama sekolah di Tawau.
Hakim Abu Bakar Manat memerintahkan Sharifah Norhafizah didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda bagi setiap satu pertuduhan terhadapnya.
Sementara itu Syed Hairul Nizam didenda sebanyak RM8,000 bagi setiap tuduhan atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya.
Dua beradik itu mengaku menggunakan penyata akaun bank bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 sebagai dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bagi tempoh kontrak 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.
Kesalahan itu dilakukan pada 24 November 2016.
Tuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, manakala hukuman mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Nartiah F Mirchelle Sambatan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.