Zahid panggil pemimpin Umno bincang ‘tinggalkan’ kerajaan PN, kata sumber

Zahid panggil pemimpin Umno bincang ‘tinggalkan’ kerajaan PN, kata sumber

Mereka berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sejak tengah hari tadi.

PETALING JAYA:
Sumber Umno mengesahkan sebahagian pemimpin parti itu berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sejak tengah hari tadi bagi membincangkan cadangan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, mereka dipanggil oleh Presiden Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan penarikan balik sokongan Umno kepada kerajaan sebelum 1 Ogos.

“Sudah bermula tengah hari tadi. Jumpa berperingkat dalam kumpulan kecil. Fasal ‘pull the plug’,” katanya kepada FMT.

Dalam laporan terdahulu, Umno dijangka menarik balik sokongannya dalam perkembangan yang akan menguji keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dikatakan bersetuju untuk berbuat demikian dalam perjumpaan dengan Zahid sebelum ini.

Umno adalah blok penyokong terbesar kerajaan PN yang mempunyai sokongan rapuh di Dewan Rakyat.

Pada 21 Jun lalu, Umno mendesak kerajaan supaya memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari yang genap hari ini.

Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan suatu “mesyuarat khas” Dewan Rakyat akan bersidang mulai 26 Julai, namun beberapa Ahli Parlimen berkata, tempoh lima hari mesyuarat itu terlalu singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.