Chong Wei tak ke Jepun atas faktor kesihatan, kata menteri

Chong Wei tak ke Jepun atas faktor kesihatan, kata menteri

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, berkata Chong Wei bagaimanapun dikekalkan jawatan CDM berdasarkan pendirian dibuat Majlis Olimpik Malaysia.

Lee Chong Wei tetap memikul tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo walaupun beliau tidak ke Jepun.
KUALA LUMPUR:
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo, Lee Chong Wei, tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan, selain larangan doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican, ketika mengesahkan perkara itu berkata Chong Wei bagaimanapun dikekalkan jawatan CDM berdasarkan pendirian dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata, Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo, selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya dari sini, sehinggalah temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai ini, melabuhkan tirainya, pada 8 Ogos.

“Kami tetap pendirian dengan MOM mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei adalah nama amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM, Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya dalam satu audio dikongsi kepada media hari ini.

Reezal Merican berkata demikian selepas meninjau persediaan dan persiapan akhir kem badminton negara bagi Sukan Olimpik di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.

Beliau berkata, ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukan satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan cukup berbeza susulan pandemik Covid-19.

Beliau pada masa sama, menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu memberi kejayaan kepada atlet membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo kira-kira seminggu, sebelum temasya sukan itu bermula.

Mengenai tinjauannya hari ini, beliau dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, bahawa tahap persediaan kem badminton negara ke Tokyo Olimpik kini berada pada tahap 95% dan pemain dijangka mencapai tahap kemuncak prestasi sebelum berlepas ke Jepun, pada 17 Julai ini.

Seramai lapan pemain badminton bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo terdiri daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.