Polis buru 3 lelaki bolos menyelinap keluar dari PKPD

Polis buru 3 lelaki bolos menyelinap keluar dari PKPD

Suspek dipercayai penagih dadah melarikan diri ke kawasan belakang sungai PPR terbabit sebaik melepasi kawalan kawat duri yang dipasang.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pantai selepas kejadian tiga lelaki meloloskan diri dari kawat duri dipasang tular di Facebook hari ini.
PETALING JAYA:
Dua lelaki dipercayai penagih dadah dan seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya diburu pihak berkuasa selepas meloloskan diri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Pantai selepas kejadian tiga lelaki terbabit yang meloloskan diri menerusi pagar kawat duri yang dipasang di sekeliling blok berkenaan tular di Facebook hari ini.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat dawai besi telah rosak dan dipercayai digunakan oleh tiga individu berkenaan untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Anuar berkata, dua suspek berusia 34 tahun dan 46 tahun masing-masing mempunyai enam dan sembilan rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah dan pelbagai kesalahan jenayah, antaranya samun dan curi.

“Usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 2.04 minit di Facebook di mana tiga lelaki dilihat meniarap sebelum berjaya melarikan diri ke kawasan belakang sungai PPR terbabit sebaik melepasi kawalan kawat duri yang dipasang.

Kerajaan mengenakan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur, termasuk di PPR Pantai Ria bermula 1 sehingga 14 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.