Benarkan riadah di taman awam demi kesihatan mental, kata Ahli Parlimen DAP

Benarkan riadah di taman awam demi kesihatan mental, kata Ahli Parlimen DAP

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, kajian menunjukkan bahawa ketidakaktifan fizikal secara ketara meningkatkan tingkah laku bunuh diri.

Penting bagi kerajaan untuk membuka taman-taman supaya orang ramai dapat beriadah dan melepaskan tekanan bawah SOP ketat, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri persekutuan menyeru agar kerajaan membenarkan lebih banyak pusat kaunseling beroperasi dan tidak melarang orang ramai beriadah di taman-taman berikutan lonjakan kes bunuh diri baru-baru ini yang dikaitkan dengan sekatan pergerakan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, kajian menunjukkan bahawa ketidakaktifan fizikal secara ketara meningkatkan tingkah laku bunuh diri.

Katanya, sementara kerajaan berusaha untuk membendung wabak Covid-19 melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) di pelbagai negeri, ini adalah “waktu yang tepat” bagi pihak pentadbiran memandang serius peningkatan semasa kes penyakit jiwa dan bunuh diri.

Tidak kira sebanyak mana kerajaan, wakil rakyat dan sektor swasta berusaha memberi makan kepada orang miskin, mereka tidak dapat membantu mengurangkan tekanan mental, tambahnya.

Beliau berkata, kerja amal seperti mengedarkan makanan tidak akan mengurangkan kadar bunuh diri secara berkesan di negara ini, sambil menambah, tumpuan mesti diberikan kepada kesihatan mental.

“Penting bagi kerajaan untuk membuka taman-taman supaya orang ramai yang mengalami tekanan mental yang hebat semasa wabak dapat beriadah dan melepaskan tekanan bawah SOP (prosedur operasi standard) yang ketat, seperti yang disarankan oleh penyelidikan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, selain daripada kadar bunuh diri, negara juga menyaksikan lonjakan kes keganasan rumah tangga, yang disebut sebagai “wabak dalam wabak”.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), katanya, mengesahkan bahawa kes keganasan rumah tangga berada pada tahap krisis, beberapa bulan setelah PKP 3.0 dikuatkuasakan.

Ramai mangsa keganasan rumah tangga tiada tempat untuk mengadu ketika mereka terdesak memerlukan kaunseling dan perlindungan sementara.

“Ini waktu yang tepat bagi kerajaan membenarkan lebih banyak pusat kaunseling beroperasi mengikut SOP ketat,” katanya.

Pada masa ini, katanya, banyak pusat kaunseling terpaksa ditutup kerana tidak dianggap perkhidmatan perlu.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, sebanyak 631 kes bunuh diri direkodkan di seluruh negara tahun lalu, berbanding 609 kes pada 2019.

Selangor mendahului Johor dengan mencatatkan kes tertinggi pada 2019 dan 2020 masing-masing 101 kes.

“Siasatan mendapati tiga punca utama mengakibatkan kejadian bunuh diri membabitkan masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.