Taktik niaga dalam PKP, sindiket hantar wanita kepada pelanggan

Taktik niaga dalam PKP, sindiket hantar wanita kepada pelanggan

Sindiket tumpas dalam serbuan JSJ Kuala Lumpur, seorang lelaki tempatan dan 10 wanita Thailand ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata sindiket itu menyediakan perkhidmatan menghantar wanita warga asing kepada pelanggan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu sindiket pelacuran didapati mengubah taktik perniagaannya dengan menyediakan perkhidmatan menghantar wanita warga asing kepada pelanggan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut laporan Kosmo, sindiket itu mengiklankan wanita warga asing yang menawarkan aktiviti pelacuran menerusi aplikasi Telegram dan WhatsApp. Wanita yang telah dipersetujui kemudian akan dihantar kepada pelanggan yang berminat.

Namun, taktik itu gagal setelah polis menyerbu sebuah kondominium Jalan Pudu Impian, Cheras hari ini susulan risikan yang dilakukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan berkata, seorang lelaki tempatan dan 10 wanita warga Thailand berusia 23 hingga 39 tahun dalam serbuan petang tadi oleh Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Kontinjen Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

“Terdahulu, pihak polis menahan seorang wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan di sebuah apartment di Jalan Bukit Bintang dan merampas dua keping kondom serta dua buah telefon bimbit.”

Menurutnya, hasil tangkapan itu membawa pihak polis ke sebuah apartmen di Cheras seterusnya sembilan lagi wanita Thailand ditahan. Polis turut merampas 32 keping kondom serta 13 buah telefon bimbit.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372A/ 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.