Mari ganding bahu, imunisasi kini lalui tempoh penting, kata Khairy

Mari ganding bahu, imunisasi kini lalui tempoh penting, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata, negara ini akan menerima jumlah bekalan vaksin tertinggi dalam beberapa bulan akan datang.

Menteri vaksinasi, Khairy Jamaluddin berkata 250,000 orang kini divaksin setiap hari, dan jumlah ini dijangka mencapai purata 300,000 orang sehari pada Julai.
KOTA KINABALU:
Khairy Jamaluddin berkata, tiga bulan akan datang bakal menjadi tempoh paling sibuk dan penting untuk program imunisasi negara dengan ketibaan bilangan vaksin yang banyak di Malaysia.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata, beberapa bulan akan datang bakal melihat negara ini mendapat jumlah terbesar vaksin setakat ini.

“Pada Julai saja kami menjangka menerima 12 juta dos. Sebagai perbandingan, setakat ini keseluruhan dos diberikan sejak Februari adalah 8 juta.

“Jadi ini bakal menjadi bulan yang amat sibuk untuk kita dalam pada kapasiti dipertingkat di seluruh negara.”

Khairy berkata, Malaysia juga berterima kasih dengan vaksin AstraZeneca diterima dari Jepun sambil menambah AS serta China juga akan memberikan sumbangan tidak lama lagi.

“Kami memerlukan anda semua untuk menjayakan beberapa bulan akan datang yang penting ini. Apabila diberi janji temu, pergilah dapatkan suntikan vaksin.

“Galakkan rakan dan keluarga yang belum mendaftar supaya berbuat demikian. Kongsikan maklumat yang telah disahkan mengenai vaksin, dan jadilah sukarelawan di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) jika boleh. Tolonglah terus patuhi SOP.

“Beberapa bulan akan datang amat penting. Kita perlu berganding bahu dan menang bersama. Mari kita lakukannya,” katanya.
Khairy berkata, PICK telah menunjukkan perkembangan signifikan, dengan kadar vaksinasi harian untuk Jun mencapai hampir 170,000 yang menjangkau sasaran vaksinasi 150,000 ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, kadar vaksinasi di negara ini secara harian per kapita lebih tinggi berbanding purata dunia.

“Kita sekarang secara konsisten memvaksin 250,000 orang sehari dan menyasarkan purata bulanan 300,000 pada Julai.”

Katanya juga, pada hujung Mei hanya 5.9% populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, namun bilangan itu kini mencecah 18%.

“Itu adalah peningkatan 200% pada Jun saja. Memvaksin anggota masyarakat paling lemah menjadi keutamaan kita.

Khairy turut berkata, lebih 60% warga emas yang telah mendaftar untuk vaksinasi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos, dengan menambah kerajaan berharap melengkapkan vaksinasi untuk golongan tua pada bulan ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan turut berusaha keras mendapatkan vaksin CanSino bulan ini, dengan menambah vaksin satu dos itu amat penting bagi negeri dengan penduduk di kawasan pedalaman serta sukar dicapai.

Tambahnya, vaksin ini juga mudah untuk diberikan kepada masyarakat pelarian yang turut divaksin mengikut PICK.

Khairy berkata, untuk negara ini mengatasi cabaran bulan-bulan mendatang, kerajaan telah mempertingkatkan kapasiti vaksinasi dengan membuka lebih banyak PPV pelbagai jenis selain mengerahkan lebih ramai pekerja kesihatan serta sukarelawan.

“Buat masa ini kita mempunyai lebih 1,400 PPV di seluruh negara.

“PPV kita dalam pelbagai bentuk termasuk yang bergerak di perkampungan Orang Asli, di tempat ibadah, sekolah, universiti, dewan orang ramai, tempat kerja malah juga restoran.

“Lebih 1,500 klinik swasta dan 120 hospital swasta juga akan beroperasi sebagai PPV, seterusnya meningkatkan akses untuk semua,” kata Khairy.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperluaskan program vaksinasi untuk sektor ekonomi perlu yang beroperasi ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.

Fokus akan diberikan terhadap sektor pembuatan, pengangkutan, binaan dan perladangan terlebih dulu, dengan sasaran vaksin sekurang-kurangnya 300,000 pekerja untuk tempoh beberapa minggu ini.

Berhubung penularan varian Delta di Malaysia, beliau berkata kerajaan akan terus merujuk data dunia semasa mengenai keberkesanan vaksin terhadapnya, selain bagi varian lain yang mungkin semakin menular.

“Seperti banyak negara lain, kami meneliti sama ada dos ‘booster’ ketiga adalah perlu.

“Kita perlu menerima bahawa Covid-19 berkemungkinan besar endemik, dan memerlukan vaksinasi secara kerap sama seperti suntikan untuk flu di negara tertentu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.