
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata, Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon, yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 3 petang, Khamis lalu.
“Polis selesai merakam keterangan kesemua 15 individu berkenaan dan akan melengkapkan siasatan serta merujuk kes itu kepada Pejabat Pendakwa Raya,” katanya hari ini, menurut laporan Bernama.
“Kes akan disiasat mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.”
Baru-baru ni, tular satu video berdurasi 13 saat menunjukkan sekumpulan individu termasuk Rashid di sebuah kebun durian.
Pada mulanya, Rashid menafikan dakwaan melanggar SOP PKP kerana menghadiri “kenduri durian” tersebut, dengan berkata, rakaman itu adalah video lama sebelum PKP, iaitu pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau selepas itu berkata, beliau memberi ulasan kepada pertanyaan media tanpa meneliti rakaman tersebut.
“Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.
“Setelah meneliti, salah satu video yang tular merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang turut terkesan berikutan PKP ini.
“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami. Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” jelasnya.