Polis tahan lori bawa rokok seludup bernilai RM1.1 juta

Polis tahan lori bawa rokok seludup bernilai RM1.1 juta

Pemandu lori berusia 29 dan 54 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya turut ditahan, malah seorang daripadanya menawarkan rasuah RM5,000 untuk dilepaskan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah (kiri) berkata, lori- terbabit mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh MITI selain membuat pengisytiharan membawa bekalan makanan runcit. (Gambar Bernama)
KUALA KRAI:
Polis menahan dua lori yang membawa 455 kotak besar berisi rokok putih berjenama tidak lulus kastam bernilai RM1.1 juta di sekatan jalan raya (SJR) berdekatan Kampung Laloh di Jalan Kuala Krai-Gua Musang pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata, dalam kejadian pada 6.15 pagi itu, dua lelaki, iaitu pemandu kedua-dua lori, berusia 29 dan 54 tahun turut ditahan.

Beliau berkata, anggotanya menahan lori tersebut yang dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan, petugas di SJR yang terdiri daripada anggota polis dan tentera menemui 455 kotak besar mengandungi 227,000 bungkus kotak rokok berjenama disyaki tanpa cukai disembunyikan di bahagian belakang lori dengan nilai RM1.1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, ketika pemeriksaan, seorang daripada dua pemandu lori itu turut menawarkan rasuah sebanyak RM5,000 kepada penyelia di SJR itu agar dia dilepaskan.

Menerusi pemeriksaan lanjut, polis turut menemui dua nombor plat kenderaan palsu di dalam lori tersebut, katanya.

“Siasatan mendapati kedua-dua lori itu dalam perjalanan dari selatan tanah air membawa bekalan rokok ke Pantai Timur Semenanjung untuk dihantar ke Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Tumpat,” katanya.

Jelasnya, lori berkenaan mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi perjalanan rentas negeri dan daerah selain membuat pengisytiharan membawa bekalan makanan runcit.

Abdullah berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.