Buat komunikasi jelik berkaitan darurat, bapa 5 anak didakwa

Buat komunikasi jelik berkaitan darurat, bapa 5 anak didakwa

Tertuduh mengaku tidak bersalah membuat hantaran melalui Facebook menggunakan profil 'Aman Muhammad' 12 Jan lalu.

Hakim Mahyon Talib membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuat komunikasi jelik berhubung Proklamasi Darurat melalui aplikasi Facebook miliknya Januari lalu.

Wan Mohd Aman Wan Mohd Ishak, 40, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan profil “Aman Muhammad” pada 10.59 pagi, 12 Jan lalu.

Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.12 petang, hari sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mohd Yusoff Yakob, yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon jaminan rendah, dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja serta menanggung lima anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Anak guam saya yang tinggal di Kelantan telah memberi kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dilakukan,” katanya.

Hakim Mahyon Talib membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.