
Animasi pendek selama empat minit yang berjudul “Chilli Powder & Thinner” terbitan Suaram itu didakwa berdasarkan pengalaman seorang remaja berusia 16 tahun dikasari polis ketika ditahan dalam lokap yang disiarkan pada 12 Jun lalu.
Animasi itu memaparkan tahanan diikat dan dipukul dengan objek seperti cota dan getah paip sebelum badan individu itu dilumurkan serbuk cili dan cecair “thinner”. Pelancarannya menyusuli sekurang-kurangnya empat kematian dalam tahanan polis yang dilaporkan sejak April hingga bulan lalu.
Freedom Film Network (FFN) dalam kenyataan hari ini berkata, Pengarah Eksekutifnya, Anna Har dan kartunis itu dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal pada 2.30 petang ini.
Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 500 dan 505(b) Kanun Keseksaan.
“Ia sangat mengganggu bahawa polis memilih untuk menyiasat artis dan aktivis yang menyuarakan kebimbangan serius terhadap kematian, penyeksaan, penderaan tahanan dan salah laku oleh polis berbanding menangani tindakan keganasan dan kemudaratan yang muncul berulang kali terutama beberapa bulan lalu.
“Mengapa pihak berkuasa memilih untuk bertindak terhadap penyampai mesej itu, bukannya menangani mesej yang mendesak ini?”
FFN berkata, siasatan itu adalah satu bentuk intimidasi dan gangguan terhadap pembela hak asasi manusia, termasuk kartunis dan penyampai cerita.
Katanya, ia akan terus bersolidariti bersama Har dan Amin yang juga terkenal dengan karya “Yak bok te!” di sudut Cartoon Kini.