
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Barudin Wariso berkata, pihaknya akan memanggil individu terbabit berdasarkan senarai nama yang akan diberikan syarikat kurier berkenaan.
“Setakat ini, kita telah memanggil pengurusan universiti dan syarikat kurier berkenaan bagi mendapatkan penjelasan, dan turut memerlukan beberapa dokumen bagi membantu mengesan individu terbabit.
“Kita juga akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya selepas siasatan selesai dijalankan. Sekiranya terdapat individu melakukan kesalahan melanggar SOP, kita akan mengambil tindakan,” katanya, dipetik Bernama.
Barudin berkata, berdasarkan video yang tular terbabit, terdapat pelanggaran SOP PKP dengan tiada penjarakan fizikal, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Perkara 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.
Semalam, polis menerima laporan berkaitan sekumpulan individu dipercayai penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang didakwa melanggar SOP ketika mengambil bungkusan daripada sebuah syarikat kurier, seperti yang tular di laman sosial Twitter.
Kejadian itu dikatakan berlaku di hadapan pintu utama universiti berkenaan di Seri Iskandar kira-kira 6 petang Khamis lalu.