Lelaki bergelar Datuk disyaki pukul, ‘denda’ anjing berdiri atas motosikal

Lelaki bergelar Datuk disyaki pukul, ‘denda’ anjing berdiri atas motosikal

Anjing dinamakan 'Max’ itu didera kerana tidak patuh arahan tuannya.

Menerusi rakaman video, anjing yang dinamakan ‘Max’ itu didenda berdiri atas motosikal bagi tempoh satu hingga dua jam sebagai hukuman kerana dikatakan gagal mematuhi arahan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seekor anjing tanpa belas kasihan dipukul menggunakan besi, palang dan tangan berulang kali hanya kerana tidak patuh arahan tuannya, yang juga seorang pemilik syarikat bergelar Datuk.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R Kalaivanan berkata, kejadian terakhir dipercayai dilakukan pada 28 Jun lalu menerusi aduan daripada seorang pekerjanya yang tidak lagi sanggup melihat haiwan berkenaan dianiaya.

Katanya, menerusi rakaman video, anjing dinamakan ‘Max’ itu didenda berdiri atas motosikal bagi tempoh satu hingga dua jam sebagai hukuman kerana dikatakan gagal mematuhi arahan.

“Dalam rakaman berasingan, kedengaran jeritan anjing yang meraung kesakitan akibat dipukul pemiliknya. Max didenda berdiri atas motosikal dan jika terjatuh, ia akan dipukul sekuatnya.

“Menurut pengadu, Max sudah didera berulang-kali oleh majikannya namun tiada kakitangan berani menyuarakan kejadian kerana takut dipecat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kalaivanan berkata, pengadu ada menasihati majikannya supaya menghentikan perbuatan kejam berkenaan, namun pelaku mengugut mahu memukul hingga mati haiwan peliharaannya itu selain mendakwa dirinya memiliki senapang.

Katanya, disebabkan buntu dan tiada daya untuk melawan, pengadu mengambil keputusan nekad dan tidak lagi menghiraukan dirinya dipecat sekali gus melaporkan kes itu kepada pihak polis.

“Bagi pihak SAFM, saya mengucapkan terima kasih atas keberanian pengadu mengambil risiko untuk melaporkan jenayah itu sekali gus menegakkan keadilan untuk Max.

“Perbuatan lelaki berkenaan menunjukkan pelaku adalah seorang individu yang tidak wajar diberi lesen pemilikan senapang.

“Perkara ini harus dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk memastikan hanya individu yang mempunyai ‘akal yang waras’ dan layak sahaja diberikan lesen senjata api,” katanya.

Katanya, kekejaman dan penganiayaan yang dilakukan terhadap Max menjadi kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 .

Jika sabit kesalahan pelaku boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,00 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“SAFM berharap dan memohon Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam hal ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.