
Dalam satu kenyataan, Mohd Rashid berkata, beliau memberi ulasan kepada pertanyaan media tanpa meneliti video tersebut.
“Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.
“Setelah selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisis video yang terkait pada saya,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama sehingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman berikutan jualan yang merosot.
“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang turut terkesan berikutan PKP ini.
Mengulas lanjut, selepas rombongan menteri pulang, beliau dibawa ke kebun salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.
“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.
“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” jelasnya.
Susulan kejadian itu, Rashid berkata, beliau bersedia untuk memberi kerjasama kepada polis.
Terdahulu, media melaporkan polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon bersama beberapa individu lain melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menikmati durian di sebuah kebun dipercayai di Batu Pahat, Johor seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, satu laporan polis sudah dibuat berhubung video tular di media sosial itu dan kertas siasatan sudah dibuka.
“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam kenyataan.