Tiada perhimpunan ‘Black Democracy’ di Sabah, laluan ke Istana Negeri dikawal polis

Tiada perhimpunan ‘Black Democracy’ di Sabah, laluan ke Istana Negeri dikawal polis

Tinjauan FMT di beberapa lokasi termasuk bangunan KWSP, Padang Merdeka dan laluan masuk Istana Negeri mendapati keadaan tenang.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang melalui jalan ke Istana Negeri.
KOTA KINABALU:
Polis hari ini menjalankan kawalan ketat di beberapa lokasi, di sekitar bandar raya ini, termasuk laluan masuk ke Istana Negeri bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan ‘Black Democracy’ yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan FMT di beberapa lokasi antaranya di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Padang Merdeka dan laluan masuk Istana Negeri di sini, mendapati keadaan tenang tanpa sebarang perhimpunan.

Tinjauan juga mendapati pasukan polis mengambil tindakan awal untuk melakukan kawalan ketat di beberapa lokasi dan laluan utama yang mungkin dijadikan tempat perhimpunan.

Penugasan membabitkan lebih 100 pegawai serta anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang turut dibantu Polis Kontinjen Sabah dilihat memulakan tugas seawal jam 6 pagi tadi.

Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 turut dilihat berada di Padang Merdeka sebagai persediaan mencegah sebarang rusuhan.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi dua minit 40 saat dengan seorang individu memakai topeng muka yang mengajak seluruh rakyat berkumpul di bangunan KWSP serta Istana Negara masing-masing bagi membantah pelaksanaan ‘lockdown’ dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, dalam sidang media semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan.

Katanya, mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan itu boleh dikenakan tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.