Selangor peruntuk 500,000 dos vaksin untuk B40

Selangor peruntuk 500,000 dos vaksin untuk B40

Menteri Besar Amirudin Shari turut mengumumkan peruntukan dua juta dos vaksin kepada sektor industri menerusi Program SELVAX Industri, program berbayar membabitkan satu juta pekerja termasuk pekerja asing.

PETALING JAYA:
Sebanyak 500,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan dalam Program Vaksin Selangor (SELVAX) Komuniti untuk kumpulan B40 dengan 181,000 dos suntikan dijangka selesai pada akhir Julai ini, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau turut mengumumkan peruntukan dua juta dos vaksin kepada sektor industri menerusi Program SELVAX Industri membabitkan satu juta pekerja termasuk pekerja asing.

“Keseluruhan program ini melibatkan 1.25 juta penerima vaksin daripada kumpulan komuniti dan pekerja industri,” katanya ketika mengumumkan Program SELVAX Selangor hari ini.

Katanya, dengan program berkenaan, Selangor dijangka mampu memendekkan jangka waktu sasaran vaksinasi 80% daripada populasi dewasa sekitar 100 hari lebih awal, iaitu sekitar Oktober berbanding Disember.

“Berdasarkan kadar suntikan sedia ada, dianggarkan proses vaksinasi hanya akan berakhir seawal Disember ini dengan sebahagian rakyat hanya lengkap mendapat dua dos vaksin pada 8 Februari 2022.

“Dengan Program Vaksin Selangor, kita mensasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih 26 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan dewan komuniti, PPV bergerak dan klinik serta hospital swasta,” katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, antara sasaran utama penerima vaksin SELVAX Komuniti adalah warga emas, penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) termasuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat serta kategori lain yang akan ditentukan kelak berdasarkan keperluan.

“Penerima SELVAX akan diselaraskan dengan data Kementerian Kesihatan bagi memastikan tiada pertindihan data janji temu serta pensijilan vaksin, manakala SELVAX Industri yang merupakan program berbayar hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu,” katanya.

Beliau berkata, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka, termaktub dalam perjanjian dan borang ‘consent form’ dan tindakan undang-undang boleh diambil kepada majikan yang mengenakan caj bayaran kepada pekerja.

Antara syarikat besar yang mengesahkan penyertaan program berkenaan adalah rangkaian pasar raya terbesar 99 Speed Mart, firma audit utama Ernst & Young, GLC gergasi seperti Telekom Malaysia serta Touch n Go, juga syarikat pembinaan terkemuka seperti EcoWorld dan Tropicana.

Untuk rekod, setakat 28 Jun, seramai 851,118 individu di Selangor menerima dos pertama manakala 270,221 individu lengkap menerima dos kedua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.