Polis akan panggil Fahmi Reza berhubung poster ‘sardin’, ‘ayam’

Polis akan panggil Fahmi Reza berhubung poster ‘sardin’, ‘ayam’

Ia susulan siasatan ke atas pereka grafik itu selepas Pemuda Umno Perak membuat laporan mendakwa hantaran itu berunsur fitnah dan sengaja menimbul kebencian terhadap Saarani Mohamad.

Polis sudah mengambil keterangan beberapa individu berhubung poster kontroversi yang dimuat naik Fahmi Reza ke media sosial.
PETALING JAYA:
Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza akan dipanggil polis minggu depan untuk membantu siasatan berhubung poster kontroversi “ayam” dan “sardin” yang dimuat naik ke media sosial didakwa memfitnah serta menimbulkan kebencian terhadap Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa individu berhubung isu berkenaan.

“Semalam, kita memanggil beberapa orang (beri keterangan) dan kita akan memanggil suspek utama dalam kes ini untuk memberi keterangan minggu depan,” katanya dipetik Harian Metro.

Pada 18 Jun lalu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, polis membuka siasatan terhadap Fahmi susulan laporan polis dibuat Ketua Pemuda Umno Perak, Mohd Ariff Abdul Majid sehari sebelum itu yang mendakwa hantaran poster itu berunsur fitnah dan sengaja menimbul kebencian terhadap Saarani.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Poster Fahmi itu memaparkan Saarani dengan catatan “kita dah bagi makan sardin, jangan gatal nak mintak ayam pulak” yang dipercayai merujuk kenyataan menteri besar itu berhubung isu pemberian telefon pintar percuma kepada pelajar B40 di Perak.

Ariff dilaporkan berkata, poster itu memberi gambaran Saarani bersikap angkuh dalam isu pemberian telefon pintar kepada pelajar kurang berkemampuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.