
Mujahid yang juga naib presiden Amanah dilantik menjadi pengerusi PH Perak pada 24 Jun lalu oleh Majlis Presiden PH menggantikan bekas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, yang keluar PH bersama partinya Bersatu pada Feb 2020.
Sementara itu, semua Pengerusi Negeri iaitu Nga Kor Ming dari DAP, Asmuni Awi (Amanah) dan Farhash Wafa Salvador (PKR) dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PH Perak.
Ketua Pemuda PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri pula dilantik sebagai ketua pemuda PH negeri, manakala Pemimpin DAP Wong Mei Ing akan terus menerajui Wanita PH Perak.
Ahli Parlimen Baru Gajah, V Sivakumar pula kekal sebagai setiausaha PH Perak.

“Langkah ini selaras dengan hasrat pengerusi PH Perak untuk membawa negeri Perak keluar dari pandemik Covid 19 dan seterusnya meletakkan kembali fungsi kerajaan ke peranan sebenar sebagai peneraju negeri yang memiliki potensi ekonomi dan modal insan yang kaya.
“Pelantikan dan penyusunan semula organisasi PH Perak yang menggemblengkan pelbagai kaum dan gender serta diketuai bekas Menteri Agama dapat memastikan hala tuju perjuangan PH Perak tidak tersasar daripada landasan Perlembagaan Persekutuan dan komitmen memelihara Islam sebagai Agama Persekutuan.
“PH Perak akan memberi tumpuan terutama dalam berhadapan krisis pandemik yang memberi kesan menyeluruh kepada semua pihak,” kata Penyelaras Komunikasi PH Perak, Muhaimin Sulam pada satu kenyataan hari ini.