Masa tepat untuk kembalikan inisiatif bantuan, kata Tengku Zafrul

Masa tepat untuk kembalikan inisiatif bantuan, kata Tengku Zafrul

Menteri Kewangan berkata, pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman automatik yang diperkenalkan tahun lalu telah membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul masanya kini tepat untuk mengembalikan inisiatif berkenaan bagi membantu rakyat dan perniagaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, masanya kini tepat untuk memperkenalkan inisiatif bantuan mirip yang telah diberikan kerajaan sebelum ini.

Dalam kenyataan di Facebook, Tengku Zafrul berkata pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman automatik yang diperkenalkan tahun lalu telah membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.

“Teringat kembali tahun lalu, bila Kerajaan ini pertama sekali dalam sejarah perkenalkan i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat hadapi cabaran Covid-19,” katanya, dengan menambah beliau telah bertemu dengan KWSP dan Bank Negara sejak minggu lalu.

“Dengan Pelan Pemulihan Negara, inilah masa yang tepat untuk kita kembalikan inisiatif sebegini bagi membantu rakyat dan perniagaan.

“Kerajaan tidak pernah putus-putus membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikir solusi bersama.”

Katanya, walaupun pada awalnya bantuan berkenaan telah ‘digasak’ segelintir suara yang membangkang, ramai mula menyokong selepas menyedari kesan positifnya terhadap rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan 3.0 pagi ini, menjelaskan akan mengumumkan perincian pakej bantuan komprehensif pada esok atau Selasa.

Beliau berkata mungkin ada peningkatan dalam bentuk bantuan yang diberikan, terutama untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana dan ini mungkin termasuk moratorium pinjaman untuk kumpulan yang memenuhi syarat T20.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.