
Beliau dan tiga rakannya membuka sebuah restoran pada akhir 2019, selepas perniagaan kecil membekalkan makanan kepada kantin dan kafeteria yang dimulakan bersama isterinya berjaya.
Empat rakan itu mempunyai rancangan besar untuk 2020. Tetapi restoran mereka di Jalan Puchong tidak dapat bertahan lama apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai Mac tahun lalu.
Thinesh kembali kepada bakat memasak isterinya. Wanita itu mula memasak nasi lemak, karipap dan hidangan Melayu lain, manakala Thinesh akan menghantarnya ke kantin di Hospital Kajang.
Malang tidak berbau, Thinesh yang berusia 40 tahun, penghidap kencing manis yang memerlukan rawatan insulin, jatuh sakit pada pertengahan tahun lalu selepas mengalami masalah perut selama beberapa tahun dan mendapatkan rawatan di klinik pesakit luar Hospital Selayang.
Oktober lalu, doktor menemui ketumbuhan pada pankreasnya dan pembedahan dijadualkan pada 11 Jun lalu.
Tetapi, pembedahan itu tidak dapat dilakukan. Pihak hospital memberitahu Thinesh, hospital “terlalu sibuk” dengan kes Covid-19 dan mencadangkan beliau menjalani pembedahan di sayap swasta hospital sama. Ia memerlukan kos sekitar RM30,000.
Pada masa sama, beliau memilih untuk keluar dari hospital.
Isterinya, Devasundari, yang merupakan guru seni, turut kehilangan pekerjaannya dengan gaji RM1,200 pada Oktober lalu. Keluarga itu hanya bergantung pada perniagaan bekalan makanan, yang menjana kira-kira RM800 sebulan, jauh daripada pendapatan bulanan RM4,000 sebelum PKP.
“Saya tidak tahan melihat suami saya menderita. Beliau sakit dan seluruh kaki kanannya kebas.
“Saya tidak mampu menanggung kos pembedahan sebanyak RM30,000. Saya sudah beritahu hospital, tetapi mereka kata hanya wad swasta yang ada.”
Selepas mendengar penderitaan mereka, Ketua Pertubuhan Masyarakat Mesra Malaysia, J Karen Kasthuri mula mengumpulkan dana untuk pasangan itu di Facebook dengan semua sumbangan disalurkan ke akaun bank Devasundari. Sasarannya adalah RM35,000 dan lebih RM17,000 berjaya dikumpul setakat ini.
FMT sudah menghubungi pengarah kesihatan Selangor untuk mengulas memandangkan jawatan pengarah Hospital Selayang masih kosong.
Pembaca yang ingin membantu pasangan itu boleh menghantar mesej WhatsApp ke Talian Bantuan FMT di 019-3899839. Tolong jangan membuat panggilan telefon.