Silap serang pemandu bas pesara tentera, lelaki mabuk ditahan

Silap serang pemandu bas pesara tentera, lelaki mabuk ditahan

Lelaki bersenjatakan parang itu berjaya ditumpaskan pemandu yang mempunyai pengalaman tempur tanpa senjata.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata lelaki berumur 24 tahun dengan satu rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mabuk ditahan selepas tiba-tiba menyerang pemandu bas di tepi pondok hentian bas berhadapan Klinik Kesihatan Port Dickson tanpa sebab, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata kejadian 8.30 malam itu berlaku semasa pemandu bas terbabit berhenti di tepi pondok hentian bas, apabila lelaki itu tiba-tiba memecahkan cermin pintu kenderaan sebelum bergelut dengannya.

Katanya, pemandu bas yang juga pesara tentera dengan pengalaman tempur tanpa senjata (TTS) itu berjaya menundukkan lelaki berkenaan, dan membawanya ke Balai Polis Port Dickson untuk diserahkan kepada polis.

“Semasa pergelutan, pemandu bas itu merampas parang daripada lelaki berkenaan, namun dia luka di jari tangan kanan dan muka, selain mengalami kerugian kira-kira RM1,000 akibat cermin pintu bas rosak dan pecah,” katanya dipetik Bernama.

Aidi Sham berkata lelaki berumur 24 tahun dengan satu rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.