
Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Skim Pembiayaan Industri Sukan dengan peruntukan RM20 juta melalui Tekun Nasional serta Bank Rakyat, susulan cadangannya mengenai dana itu dalam perbahasan Belanjawan 2021.
Bagaimanapun, katanya, banyak aduan mendakwa skim itu langsung tidak membantu pengusaha industri sukan tempatan dengan proses kelulusannya yang mengambil masa sehingga 40 hari dan kadar faedah tidak munasabah.
Beliau berkata, skim itu jelas gagal membantu industri terbabit kerana tinjauan dalam kalangan pengusaha industri sukan mendapati mereka terbeban dengan hutang tanpa sebarang pendapatan akibat arahan tutup oleh kerajaan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Oleh itu, Sim mencadangkan lima langkah kerajaan kerajaan, antaranya memberi subsidi sehingga 50% untuk sewa bulanan atau maksimum RM5,000 kepada perniagaan industri sukan yang diarahkan tutup sepanjang PKP.
“Untuk perniagaan industri sukan di premis kerajaan, pengecualian sewa patut diberikan sepanjang tempoh arahan penutupan kerajaan.
“Geran pendigitalan sehingga RM10,000 untuk membantu industri sukan beralih ke teknologi Industri 4.0 bagi menghadapi norma baharu.
“Geran Khas Prihatin untuk Industri sukan sebanyak RM2,000 secara ‘one-off’ sebagai membantu sektor ini yang teruk terjejas sejak Mac 2020,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mencadangkan bantuan bulanan RM1,000 kepada individu bekerja sendiri dalam industri sukan yang terjejas serta elaun meningkatkan kemahiran dan latihan semula sebanyak RM1,000 sebulan kepada pekerja industri itu yang mengikuti kursus sukan dan kejurulatihan diiktiraf KBS.
Katanya, cadangan peruntukan RM100 juta hanya lebih kurang 10% daripada belanjawan tahunan KBS dan tidak keterlaluan untuk menyelamatkan industri sukan negara, ketika banyak program KBS lain tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Sim berkata, Skim Pembiayaan Industri Sukan sedia ada juga patut diubah kepada pinjaman mudah tanpa faedah, dengan moratorium enam bulan sebelum pembayaran balik dan proses kelulusan perlu dipercepatkan.
Beliau turut menggesa kerajaan menggunakan pendekatan berlandaskan data dan sains dalam mengeluarkan arahan penutupan, bukan memangsakan sektor tertentu dengan label “perlu” (essential) dan “bukan keperluan utama” (non-essential).
“Jika kilang yang mempunyai ratusan pekerja boleh dibenarkan, mengapa jurulatih kecergasan tidak dibenarkan ke gim atau pusat kecergasan merakam dan membuat video ‘streaming’ kepada pelatih dan pelanggan di rumah?
“Kerajaan patut melaksanakan penilaian risiko ke atas premis perniagaan industri sukan sebelum membuat keputusan penutupan. Jika pengusaha mampu membuktikan mereka dapat mengurangkan risiko jangkitan ke tahap paling minima, maka mereka tidak patut dikenakan arahan penutupan yang tidak adil.
“Sebaliknya, sekiranya pengusaha gagal berbuat demikian, mereka tidak patut dibenarkan beroperasi, tidak kira dalam sektor ‘perlu’ atau tidak.”