
Kementerian itu menggariskan tiga fasa untuk membantu kerajaan mempercepat program vaksinasi di seluruh negara dan seterusnya menjayakan Program Destinasi Bebas Covid-19.
Pada fasa pertama, Langkawi dipilih sebagai destinasi perjalanan percubaan pertama untuk program ini.
Kerajaan juga telah bersetuju untuk meningkatkan kemampuan vaksinasi bagi penduduk pulau peranginan tersebut dan mengubah Kompleks Kraf Langkawi menjadi pusat vaksinasi umum (PPV) mulai pertengahan Julai.
Destinasi lain yang turut dicadangkan untuk program ini adalah Kuching, kata kementerian itu dalam kenyataan.
“Kementerian juga bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk menjadikan Kuching sebagai salah satu rangkaian bandar kreatif di peringkat Unesco dan Asean di bawah kategori astronomi dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah fasa kedua, program ini akan memperluaskan program ke pulau-pulau peranginan paling popular di negara ini, seperti Redang, Perhentian, Pangkor dan Tioman.
Fasa ketiga membabitkan sesi kerjasama antara kementerian dan semua kerajaan negeri untuk memilih tempat-tempat pelancongan yang dapat diketengahkan.
“Kerjasama itu turut merangkumi penggunaan kemudahan yang sesuai yang dapat diubah menjadi PPV,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, penghibur jalanan atau ‘buskers’ akan membuat persembahan di dua PPV mega, iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia dan Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur bermula 8 Julai hingga 31 Disember.