
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong, berkata langkah itu berisiko merosakkan imej Malaysia di mata pelancong antarabangsa.
“Malaysia dikenali negara pelancongan sederhana: kita menekankan nilai seperti toleransi, penerimaan dan keterangkuman. Itu yang menjadikan Malaysia begitu menarik sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyediakan alkohol berdasarkan laluan dan jangkaan pelanggan.
Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia, Sri Ganesh Michiel, menggesa orang ramai mempertimbangkan perspektif syarikat penerbangan itu sebelum membuat kesimpulan.
“Sebelum membuat sebarang kenyataan, orang ramai perlu memahami mengapa syarikat penerbangan itu memilih untuk menyediakan alkohol sejak awal.”
Beliau turut menyeru semua pihak menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), dengan berkata kejayaannya akan memanfaatkan semua pihak.
“Apabila TMM2026 berjaya, semua orang dapat manfaat,” katanya.
Dua kumpulan pelancongan itu mengulas gesaan seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional supaya Malaysia Airlines berhenti menghidangkan minuman beralkohol dalam penerbangannya.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hansnizan Harun dilaporkan berkata, amalan itu bertentangan prinsip Islam dan meletakkan pramugari Islam dalam kedudukan sukar, bahkan penumpang juga tidak selesa.