
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, surat kelulusan Bantuan Pesakit Terlantar diserahkan ketika mengunjungi wanita itu di kediaman adiknya, Fauziah Nordin di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, bantuan itu bagi meringankan beban Fauziah dalam menguruskan keperluan perubatan kakaknya berusia 43 tahun itu, yang memerlukan belanja besar.
“Mulai bulan Julai, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyalurkan RM500 secara bulanan. Hari ini juga saya menyampaikan bantuan RM1,000 serta keperluan lain, seperti pampers dan sebagainya.
“Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), turut menyumbangkan bantuan keperluan susu kepada Jahidah dan difahamkan beliau memerlukan 800g susu bagi kegunaan dua hari, jadi sebanyak 15 hingga 18 tin susu diperlukan dalam sebulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rina berkata, pihaknya memandang serius isu keganasan rumah tangga dan meminta mana-mana wanita yang menjadi mangsa dera, supaya tampil membuat aduan kepada pihak berkaitan.
Ketika pertemuan itu, Rina berkata beliau diberitahu oleh Fauziah bahawa kakaknya berubah menjadi seorang pendiam sejak berkahwin, selain turut menerima maklumat daripada rakan setugas kakaknya itu kerap terlihat kesan lebam di anggota badan Jahidah, sebelum ini.
“Tugas kita sebagai masyarakat, ahli keluarga sekiranya mengetahui sesuatu yang mencurigakan terhadap anggota keluarga atau kawan, tolong laporkan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga 20 Jun, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga direkodkan JKM dan Pusat Panggilan Talian Kasih.
Sementara itu, Fauziah ketika ditemui berterima kasih dengan keprihatinan diberikan pelbagai pihak yang menghulurkan bantuan, untuk menampung perbelanjaan bulanan menguruskan kakaknya itu.
Beliau juga berkata, kandungan kakaknya dalam keadaan baik dan berharap orang ramai dapat mendoakan kakaknya sembuh seperti biasa.