Umno akan tewas jika cita-cita peribadi tidak diatasi, kata Khaled

Umno akan tewas jika cita-cita peribadi tidak diatasi, kata Khaled

Pertindihan pendapat dan pendirian pimpinan parti yang dilontarkan secara lantang dan terbuka menyebabkan rakyat bingung dengan perjuangan sebenar Umno, katanya.

Khaled Nordin berkata, pertindihan pendapat dan pendirian pimpinan parti yang dilontarkan secara lantang dan terbuka menyebabkan rakyat bingung dengan perjuangan sebenar Umno.
PETALING JAYA:
Pada saat percakaran dalaman dan episod tuduh menuduh antara satu sama lain semakin memuncak ketika ini, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin hari ini memberi peringatan kepada pimpinan bahawa jika politik peribadi tidak diatasi segera, ia akan meranapkan kelangsungan parti.

“Umno juga berhadapan dengan masalahnya tersendiri. Pelbagai kabilah dalam Umno dengan cita-cita masing-masing.

“Cita-cita untuk diri sendiri, bukan untuk negara, parti, orang Melayu dan Islam. Masalah inilah yang akan menewaskan Umno jika tidak diatasi,” katanya dalam catatan di Facebook.

Khaled, yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor berkata, jika Umno inginkan kelangsungan, maka semua “isi rumah” harus teguh dengan keputusan parti dan membiarkan institusi presiden serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berperanan sebagai pengemudi mutlak perjalanan parti.

Katanya, pertindihan pendapat dan pendirian pimpinan parti yang dilontarkan secara lantang dan terbuka menyebabkan rakyat bingung dengan perjuangan sebenar Umno.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, Umno akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.

“Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan Umno. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang pandangan yang membelakangkan parti adalah bercanggah dengan keputusan yang sudah ditetapkan.

“Sama ada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan,” katanya.

Beliau berkata, Umno harus belajar daripada kisah lampau yang menjadi antara nadi pendesak dan pengaturcara kepada penubuhan sebuah pemerintahan yang berfungsi.

“Untuk mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, Umno mesti jadi sebahagian daripada angkubahnya.

“Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana peranan Umno menjadi pendesak dan pengaturcara. Perikatan Nasional (PN) tertubuh kerana Umno memberikan talian hayatnya,” katanya.

“Maka nasib Perikatan Nasional seterusnya adalah dalam percaturan Umno. Pada Umnolah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.