‘Kalau Speaker kata boleh buat sidang khas Parlimen, mengapa tak teruskan saja’

‘Kalau Speaker kata boleh buat sidang khas Parlimen, mengapa tak teruskan saja’

Steven Sim dari DAP berkata tiada keperluan sidang khas dan kemudiannya sidang hibrid Parlimen diadakan.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara menyatakan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.
PETALING JAYA:
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang membidas kenyataan bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim berhubung persidangan Parlimen secara hibrid.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP, Steven Sim, berkata Parlimen sepatutnya bersidang secepat mungkin sebelum 1 Ogos.

Katanya, tiada keperluan sidang khas dan kemudiannya sidang hibrid diadakan.

“Kalau Speaker pun kata boleh buat sidang khas, mengapa tak teruskan saja sidang Parlimen.

“Teruskan sidang Parlimen secara fizikal dan kalau perlu, selaraskan SOP tertentu seperti masuk bergilir-gilir seperti sidang lepas dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Steven berkata, negara bukan berada dalam keadaan terputus komunikasi dan perjalanan sampai tidak boleh hadir ke Parlimen.

Katanya, tambahan pula titah Yang di-Pertuan Agong antaranya untuk Parlimen membahaskan pelan pemulihan.

“Kalau sampai September/Oktober dah masuk hujung Fasa 3, nak bahas apa lagi,” katanya.

Terdahulu, Azhar dan Rais menyatakan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Sehubungan itu, Parlimen mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan pada awal Ogos bagi memperincikan resolusi diperlukan untuk diterima pakai berkaitan peraturan mesyuarat dan perkara teknikal berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Agong dan Raja-Raja Melayu tidak bertitah mengenai sidang khas untuk meluluskan perancangan Parlimen hibrid secepat mungkin.

“Secara ringkas Duli-Duli Tuanku titah pandangan Parlimen perlu bersidang secepat mungkin,” katanya di Twitter.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena dari Amanah, Mahfuz Omar, berkata sidang Parlimen sepatutnya perlu disegerakan dan itu yang dititah oleh Agung dan Majlis Raja-Raja.

Katanya, ini bagi memastikan semak dan imbang boleh berlaku di Parlimen.

“Kita lihat kerajaan hari ini sudah hilang kemampuan untuk atasi permasalahan berkaitan pandemik Covid-19 dan kesan pandemik ini kepada rakyat,” katanya.

Mahfuz berkata, tiada masalah diadakan sidang Parlimen secara bersemuka.

Katanya, rakyat mempersoalkan kenapa Parlimen tidak boleh bersidang secara bersemuka tetapi perindustrian dan perkilangan boleh beroperasi dengan jumlah pekerja lebih besar daripada Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen.

“Bagi saya kepentingan sekarang ini, Perdana Menteri perlu segerakan sidang Parlimen untuk bahas segala masalah berbangkit di negara kita ekoran Covid-19.

“Kemudian nak buat sidang khas nak buat sidang hibrid tak ada masalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.