
Jika sebelum ini bekas pengurus syarikat pembinaan itu mampu meraih pendapatan tinggi, namun kedai yang dahulunya sibuk menerima pelanggan kini sunyi sepi dan hanya berharap kepada jualan dalam talian.
Dugaan menimpa beliau tidak sedikit pun dianggap musibah sebaliknya peringatan kepada dirinya untuk melihat “dunia luar”, iaitu golongan kurang bernasib baik yang lebih teruk terjejas.
Atas dasar itu, Hizuddin tampil menawarkan sebuah motosikal bernilai RM3,500 kepada individu yang memerlukannya untuk mencari rezeki dalam tempoh sukar ini.
“Saya bukan jutawan tetapi hanya sekadar membantu sebagai seorang insan.
“Kalau hendak kata susah, saya pun susah sekarang ini sebab perniagaan terjejas teruk tetapi saya percaya di luar itu masih ada lagi yang kurang bernasib baik,” katanya kepada FMT.

Selepas mengiklankan tawaran itu di media sosial, beberapa individu tampil memohon namun terpaksa ditolak kerana tidak menepati kriteria.
“Ada seorang ibu yang suaminya baru dipenjarakan memohon motosikal itu untuk kegunaan ke tempat kerja bagi menyara anak-anak terpaksa ditolak kerana tidak memiliki lesen.
“Kalau ikutkan memang saya mahu beri kepadanya namun saya bimbang juga timbul masalah lain selepas itu,” katanya yang berniaga di Pusat Perdagangan Hillpark, Puncak Alam, Selangor.
Tawaran itu masih dibuka memandangkan tiada calon sesuai untuk menerimanya, katanya.
Ketika PKP 3.0 ketika ini, beliau juga aktif memberi bantuan barangan asas kepada golongan memerlukan di sekitar Puncak Alam.
“Ada juga yang meminta duit termasuk dari negeri lain, ada yang minta tanpa memaklumkan tujuan permintaan itu.
“Tetapi saya tidak amalkan pemberian wang, hanya barangan asas sahaja,” katanya yang turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai.
Individu di sekitar Puncak Alam, Selangor, yang berminat untuk memohon sumbangan motosikal berkenaan boleh menghubungi Hizuddin di akaun Facebook Merabba Street.