
Beliau berkata demikian susulan seorang anggota Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menyoal sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membantu pemain industri yang terkesan akibat wabak Covid-19.
“Saya percaya perdana menteri akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar.
“Saya tidak mahu mendahului pengumuman itu,” kata Khairy ketika sesi dalam talian bersama NCCIM sempena mesyuarat agung ke-45 hari ini.
Presiden Malaysian Associated Indian Chambers of Commerce and Industry N Gopalakrishnan berkata, ramai majikan tidak lagi mampu membayar gaji pekerja mereka.
“Apakah tindakan selanjutnya kerajaan untuk membantu pemain industri? Kami berdepan keadaan yang amat sukar,” katanya.
Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.5% untuk 2021 berbanding ramalan terdahulu sebanyak 6% selepas jangkitan Covid-19 melonjak sejak pertengahan April lalu.
Dalam laporan edisi Jun “Malaysia Economic Monitor: Weathering the Surge” semalam, ia berkata, lonjakan jangkitan baru-baru ini mencetuskan kebimbangan terhadap keseluruhan kapasiti sistem kesihatan serta kesan kitaran pembukaan dan penutupan ekonomi terhadap isi rumah serta perniagaan.
Menurut laporan itu, Malaysia patut memberi keutamaan segera dalam pengurusan cekap pandemik serta kesannya terhadap individu, isi rumah dan perniagaan.
Selain itu, kata laporan berkenaan, strategi “find-test-trace-isolate-support” penting bagi memastikan pembukaan semula ekonomi serta kelonggaran perintah kawalan pergerakan secara beransur-ansur dengan selamat.
Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan tujuh pakej rangsangan bernilai RM380 bilion, dengan yang terbaru bernilai sebanyak RM40 billion.
Pengarah Belanjawan Negara Johan Mahmood Merican berkata, semua pakej sebelum ini termasuk yang terbaharu, Pemerkasa Tambahan, telah dilaksanakan secara berperingkat seperti dijadualkan.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa pakej bantuan kewangan kerajaan tidak sampai kepada golongan yang terkesan akibat wabak, dengan ramai dikatakan masih ‘terlepas’ daripada mendapat bantuan.
Katanya, RM200 bilion telah dibelanjakan menerusi pelbagai saluran.
“Kita masih mempunyai lebih RM100 bilion untuk dibelanjakan,” katanya.
Satu lagi pakej bantuan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.